Puluhan ribu pelaut, penumpang kapal persiaran terkandas di Teluk akibat konflik Timur Tengah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puluhan ribu pelaut, penumpang kapal persiaran terkandas di Teluk akibat konflik Timur Tengah

Mar 6, 2026 | 4:04 PM

Puluhan ribu pelaut, penumpang kapal persiaran terkandas di Teluk akibat konflik Timur Tengah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sebuah kapal persiaran kelihatan berlabuh di pelabuhan lama Doha pada 4 Mac 2026. Ketika konflik antara Iran dan Amerika Syarikat terus memuncak di Asia Barat, enam kapal persiaran yang membawa kira-kira 15,000 penumpang dan lebih 6,000 anak kapal masih terkandas di pelabuhan dengan penumpang berada di atas kapal di Dubai dan Qatar.
Sebuah kapal persiaran kelihatan berlabuh di pelabuhan lama Doha pada 4 Mac 2026. Ketika konflik antara Iran dan Amerika Syarikat terus memuncak di Asia Barat, enam kapal persiaran yang membawa kira-kira 15,000 penumpang dan lebih 6,000 anak kapal masih terkandas di pelabuhan dengan penumpang berada di atas kapal di Dubai dan Qatar. - Foto AFP

DOHA: Sekitar 20,000 pelaut dan 15,000 penumpang kapal persiaran kini terkandas di kawasan Teluk susulan perang di Asia Barat yang semakin memuncak, menurut Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pada 5 Mac.

Setiausaha Agung IMO, Encik Arsenio Dominguez, berkata organisasi itu bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keselamatan mereka yang terjejas. “IMO bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelaut yang terkesan oleh konflik ini,” katanya kepada AFP.

Konflik yang tercetus sejak 28 Februari lalu telah memberi kesan besar kepada laluan perdagangan tenaga dunia, khususnya di Selat Hormuz yang menjadi laluan utama penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG).

Industri maritim kini mengklasifikasikan Selat Hormuz, Teluk Oman dan Teluk Parsi sebagai kawasan “operasi peperangan”. Status tersebut memberi perlindungan tambahan kepada pelaut yang beroperasi di kawasan berisiko tinggi.

Sejak perang bermula, IMO merekodkan sekurang-kurangnya tujuh insiden melibatkan kapal di rantau itu, yang mengakibatkan dua kematian dan tujuh lagi cedera. “Selain kesan ekonomi daripada serangan yang membimbangkan ini, ia juga merupakan isu kemanusiaan,” kata Encik Dominguez. “Tiada serangan terhadap pelaut awam yang tidak bersalah boleh dianggap wajar.”

Beliau turut menggesa semua syarikat perkapalan supaya meningkatkan langkah keselamatan ketika beroperasi di kawasan tersebut. “Saya sekali lagi menyeru semua syarikat perkapalan supaya mengambil langkah berjaga-jaga maksimum ketika beroperasi di rantau yang terjejas,” katanya.

Iran dilaporkan telah menutup secara efektif Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak mentah dunia.

Beberapa syarikat perkapalan utama, termasuk syarikat Denmark Maersk, telah menggantung tempahan penghantaran di kawasan Teluk.

Kumpulan majikan maritim dan kesatuan pekerja dalam industri perkapalan berkata keputusan menaik taraf status keselamatan kawasan tersebut mencerminkan ancaman yang semakin serius terhadap pelaut dan kapal.

“Ratusan kapal kini terkandas di Teluk selepas pergerakan kapal melalui Selat Hormuz dihentikan,” menurut kenyataan bersama Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) dan kumpulan majikan maritim Joint Negotiating Group.

Menurut mereka, situasi itu menunjukkan tahap gangguan besar terhadap operasi perkapalan serta risiko tinggi yang dihadapi oleh kru kapal awam.

Setiausaha Agung ITF, Encik Stephen Cotton, berkata situasi semasa merupakan antara yang paling membimbangkan dalam sejarah industri maritim moden. “Dalam tempoh 32 tahun saya bersama ITF, ini antara keadaan paling buruk yang pernah saya lihat kerana keadaan diplomatik sangat tidak menentu,” katanya.

Walaupun pelaut mempunyai hak untuk meminta pulang ke negara asal, proses itu bukan mudah dilaksanakan. “Anda tidak boleh hanya menekan butang dan serta-merta meninggalkan kapal,” kata Encik Cotton. “Jika sebuah kapal mempunyai 25 kru, sekurang-kurangnya 16 orang diperlukan untuk mengendalikannya dengan selamat.”

Pasukan Pengawal Revolusi Iran dilaporkan pada 3 Mac mendakwa mereka kini mempunyai “kawalan penuh” terhadap Selat Hormuz. Terdapat juga laporan mengenai beberapa kapal yang menjadi sasaran serangan tambahan di kawasan tersebut.

Firma perisikan tenaga, Kpler, melaporkan jumlah kapal tangki minyak yang melalui Selat Hormuz telah merosot sebanyak 90 peratus berbanding minggu lalu.

Gangguan kepada laluan tenaga utama dunia itu turut memberi kesan kepada pasaran minyak global.
Kontrak penanda aras minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate, melonjak lebih lima peratus kepada AS$78.88 (S$100.77) setong pada 5 Mac, paras tertinggi sejak Januari 2025. Harga minyak Brent Laut Utara pula meningkat 3.6 peratus kepada AS$84.34 setong.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini berkata tentera laut negara itu bersedia mengiringi kapal tangki minyak melalui laluan strategik tersebut bagi memastikan bekalan tenaga global tidak terjejas.

Konflik yang semakin meluas ini turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pelaut awam yang terperangkap di kawasan konflik, selain meningkatkan tekanan terhadap industri perkapalan global.
Beberapa kawasan lain di dunia juga telah lama diklasifikasikan sebagai kawasan “operasi peperangan”, termasuk sebahagian Laut Azov, utara Laut Hitam, selatan Laut Merah dan Teluk Aden. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg