Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat bandar Paris ditutup untuk Sukan Olimpik jelang ketibaan atlet

Jul 18, 2024 | 7:19 PM
Tentera Perancis sedang mengerahkan, “sumber luar biasa”, demi memastikan keselamatan di kawasan berangkat bagi para atlet yang akan mengambil bahagian dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik di Paris pada 26 Julai.
Tentera Perancis sedang mengerahkan, “sumber luar biasa”, demi memastikan keselamatan di kawasan berangkat bagi para atlet yang akan mengambil bahagian dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik di Paris pada 26 Julai. - Foto AFP

PARIS: Pasukan keselamatan Perancis telah mula mengunci sebahagian besar pusat bandar Paris pada 18 Julai, menjelang upacara pembukaan Sukan Olimpik yang sangat kompleks dan tidak pernah berlaku sebelum ini di sungai Seine pada 26 Julai.

Perarakan pembukaan sepanjang 6 kilometer di sungai terkenal bandar itu – iaitu yang pertama di luar stadium dalam sejarah temasya sukan – menyebabkan daerah tengah tepi sungai itu ditutup kepada kenderaan bermula 5 pagi.

Sesiapa yang ingin memasuki “zon kelabu” yang dikawal dengan keselamatan tertinggi di sepanjang kededua tebing Seine, seperti penduduk atau pelancong yang membuat tempahan di kawasan itu, memerlukan pas keselamatan dalam bentuk kod QR.

Paris, juga digelar Bandar Bercahaya, sedang berubah menjelang Sukan Olimpik dari 26 Julai hingga 11 Ogos dengan kira-kira 10 juta penonton dijangka datang ke ibu kota Perancis itu.

Stadium sukan sementara telah dibina di lokasi popular seperti Menara Eiffel, Invalides atau Place de la Concorde, manakala laluan VIP Olimpik baru adalah penambahan terkini untuk mengatasi keadaan trafik yang teruk.

“Memang benar konsep kami adalah untuk mempunyai sejumlah besar tapak sementara di tengah-tengah bandar. Jelas, oleh itu, terdapat kekangan, tetapi saya rasa orang ramai dapat melihat apa yang kami sedang lakukan,” kata ketua pengarah Paris 2024, Encik Etienne Thobois.

Banyak stesen Metro di daerah tengah akan juga ditutup dari 18 Julai hingga keesokan hari upacara pembukaan, yang akan menyaksikan 6,000 hingga 7,000 atlet berlayar menyusuri Seine dengan sekitar 100 tongkang dan bot sungai.

Paris berbangga menjadi tuan rumah kepada upacara pembukaan unik di luar stadium olahraga utama, dengan sehingga 500,000 orang dijangka menonton secara langsung dari tempat duduk penonton, di tebing sungai dan dari pangsapuri yang menghadapnya. 

Tetapi, operasi keselamatan yang luas telah menimbulkan kebimbangan kepada pegawai kanan polis sejak ia diumumkan pada 2021.

Ini disebabkan oleh kesukaran mendapatkan begitu ramai penonton di kawasan bandar yang begitu besar dan padat.

Kira-kira 45,000 pegawai akan bertugas untuk perarakan pada 26 Julai, dibantu ribuan askar dan ejen keselamatan swasta.

Pada 17 Julai, polis di timur Perancis mengumumkan mereka telah menahan seorang yang disyaki pelampau sayap kanan yang telah membuat ugutan terhadap temasya sukan itu dalam satu kumpulan di aplikasi telefon, Telegram. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg