PARIS: Datuk Bandar Paris, Cik Anne Hidalgo, berenang di sungai Seine pada 17 Julai, sebagai usaha meyakinkan orang ramai bahawa sungai itu cukup bersih dan bersedia digunakan bagi Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024 yang akan bermula pada Julai.
Cik Hidalgo berenang di sungai itu sekitar 10 pagi waktu tempatan pada hari musim panas di Paris, dengan ramai pelawat berkerumun di jambatan berhampiran untuk menyaksikannya, selepas rancangan beliau untuk berenang tertangguh beberapa kali kerana hujan lebat, selain keraguan tentang mutu airnya.
Cik Hidalgo, yang memakai pakaian renang dan gogal, berenang di sungai itu dengan disertai Ketua Jawatankuasa Penganjur Olimpik Paris, Encik Tony Estanguet, dan beberapa orang lain.
Beliau pada mulanya berenang kuak dada sebelum membenamkan muka ke dalam air dan mula berenang gaya bebas.
“Kami telah bekerja sangat keras, kemudian anda turun ke sungai ini. Ia kelihatan sesuatu yang wajar dilakukan. Airnya sangat menyenangkan, sedikit sejuk,” kata Cik Hidalgo selepas berenang.
Pertandingan renang triatlon dan maraton Sukan Olimpik, yang berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos, akan diadakan di sungai Seine.
“Kami akan membenarkan pelbagai acara Olimpik diadakan, dan membolehkan orang ramai berenang selepas itu.
“Tetapi, dalam usaha membersihkan sungai ini, kita juga perlu mengelak membuang sampah ke lautan.
“Kita perlu menyesuaikan bandar kita dengan perubahan iklim, dan sungai adalah sebahagian daripadanya,” ujar Cik Hidalgo.
Perancis memperuntuk 1.4 bilion euro ($2 bilion) untuk membersihkan sungai Seine di tengah-tengah kebimbangan berpanjangan bahawa kebocoran dari sistem kumbahan bandar itu telah mengalirkan air buangan dan bakteria ke sungai tersebut, menjadikannya tidak bersih dan tidak selamat digunakan bagi kegiatan renang.
Menurut buletin mutu air terkini Seine pada 12 Julai, berdasarkan analisis air Eau de Paris, mutu air sungai itu sesuai untuk acara renang dalam enam dari tujuh hari di beberapa tapak renang Olimpik.
Keputusan sama ada untuk mengadakan acara Olimpik di sungai itu akan dibuat pada malam sebelum acara, dan awal pagi pada hari acara.
Keputusan tersebut akan dibuat oleh sebuah jawatankuasa teknikal merangkumi atlet, persekutuan antarabangsa, pihak berkuasa serantau dan Meteo France.
“Para atlet pertama bakal tiba, jadi ini adalah mesej amat penting, iaitu Seine akhirnya sesuai digunakan untuk berenang, dan acara triatlon dan renang boleh diadakan di sini,” kata Encik Estanguet.
Cik Hidalgo pada asalnya merancang berenang pada Jun, namun terpaksa menangguhkan kerana ujian air sungai itu menunjukkan bakteria E.Coli – penunjuk utama bahan najis, kadangkala wujud sehingga 10 kali lebih tinggi daripada had yang dibenarkan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg