Pusat data Karawang jadi nadi ledakan AI di Indonesia
KARAWANG, Indonesia: Bunyi dengungan tanpa henti memenuhi sebuah pusat data Microsoft berhampiran Jakarta, sebahagian daripada gelombang pembinaan teknologi besar-besaran di Asia Tenggara yang menjanjikan peluang ekonomi tetapi pada masa sama menimbulkan kebimbangan penggunaan tenaga dan air.
Ketika permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat, gergasi teknologi berlumba melabur berbilion dolar di rantau ini kerana jumlah pengguna Internet yang semakin berkembang pesat.
Pusat data - kemudahan seperti gudang yang menyimpan maklumat dalam talian serta menggerakkan teknologi AI daripada chatbot hingga penjana imej kini berkembang di seluruh dunia, khususnya di Asia. Wartawan AFP baru-baru ini diberi akses jarang berlaku ke pusat data Microsoft di Indonesia yang menjadi sebahagian daripada ledakan tersebut.
Bangunan besar tanpa logo itu dikawal ketat dan hanya boleh dimasuki selepas pemeriksaan keselamatan rapi, manakala juruteknik bertugas sepanjang masa termasuk ketika cuti keagamaan bagi memastikan sistem terus beroperasi.
Menurut laporan KPMG, kapasiti pusat data Asia Tenggara dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2030 berbanding 2025, dipacu lonjakan penggunaan AI sehingga sepuluh kali ganda. “Kami menjangkakan setiap aplikasi, setiap tugasan dan setiap pengguna akan menggunakan AI dalam aliran kerja mereka dalam beberapa tahun sahaja lagi,” kata pengurus infrastruktur Microsoft, Encik Alistair Speirs.
Pemerintah di rantau ini melihat pusat data sebagai pemangkin ekonomi kerana ia meningkatkan kecekapan perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan di taman teknologi.
“Ia situasi menang-menang untuk pemerintah,” kata Encik Trung Ghi daripada firma perunding Arthur D. Little, merujuk kepada kesan terhadap pelaburan dan pertumbuhan ekonomi tempatan.
Namun perkembangan itu turut meningkatkan permintaan elektrik pada grid yang masih bergantung kepada bahan api fosil.
Di Indonesia, hampir 70 peratus elektrik dijana daripada arang batu. Badan pemikir tenaga Ember menganggarkan penggunaan elektrik pusat data negara itu akan meningkat empat kali ganda menjelang 2030.
Kemudahan Microsoft di Jakarta merupakan sebahagian pelaburan AS$1.7 bilion (S$2.1 bilion) dengan kapasiti besar yang memerlukan ratusan megawatt tenaga.“Kami tidak membina loji kuasa, tetapi bekerjasama dengan pembekal tenaga,” kata ketua operasi awan Microsoft, Cik Noelle Walsh.
“Di sesetengah tempat tenaga angin digunakan, di tempat lain tenaga solar atau hidro, dan di beberapa negara tenaga nuklear. Kami menyokong semua pilihan itu.”
Microsoft turut menandatangani perjanjian dengan syarikat elektrik milik negara Indonesia untuk menambah kapasiti tenaga boleh diperbaharui kira-kira 200 megawatt dalam tempoh sedekad.
Di dalam pusat data, rak pelayan logam bekerja menjawab permintaan AI pengguna tempatan, proses yang menghasilkan haba tinggi.
Sistem penyejukan air gelung tertutup berfungsi seperti radiator kereta dan tidak memerlukan pengisian semula kerap digunakan bagi mengelakkan kerosakan.
“Cip berprestasi tinggi memerlukan tenaga jauh lebih besar, jadi kami perlu menyesuaikan reka bentuk pusat data dengan struktur tenaga dan kaedah penyejukan berbeza,” kata Cik Walsh.
Walaupun sistem itu menjimatkan air, pakar memberi amaran kesannya terhadap bekalan tempatan.
Saintis Universiti Nasional Singapura, Olivia Jensen, berkata ledakan pusat data akan menambah tekanan terhadap sumber air yang sudah lama terjejas. “Pembangunan ini akan memberi tekanan lebih besar kepada sumber air rantau tersebut,” katanya.
Microsoft menjangka penggunaan air meningkat sehingga 2028 sebelum stabil sekitar 660 juta liter setahun selepas lebih banyak sistem gelung tertutup dipasang. “Kami bergerak pantas dan kemudahan baharu akan menggunakan sifar air setiap hari,” kata Walsh.
Singapura sebelum ini menjadi pusat utama pusat data Asia Tenggara, namun menghentikan pembangunan antara 2019 hingga 2022 kerana kebimbangan tenaga, air dan tanah. Minat besar terhadap AI selepas kemunculan ChatGPT menyebabkan pusat data berkembang pesat di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam.
“Ledakan ini nyata berlaku dan syarikat berlumba mendapatkan kelebihan awal,” kata Encik Trung.
Syarikat lain termasuk Amazon, Google, Alibaba dan Tencent turut mengendalikan pusat data di kawasan Jakarta. Namun wilayah metropolitan berpenduduk 42 juta itu juga berdepan masalah penurunan tanah akibat pengambilan air bawah tanah, sehingga pemerintah Indonesia merancang memindahkan ibu negara pada masa depan.
Walaupun pelaburan teknologi membawa manfaat ekonomi, pakar memberi amaran generasi AI seterusnya memerlukan kuasa pengkomputeran lebih besar. “Jika teknologi ini terus berkembang dan memerlukan semakin banyak sumber, pasti ada perkara yang terpaksa dikorbankan,” kata Encik Trung.
Dengan tanah tambahan sudah diperuntukkan untuk pembinaan baharu, ledakan pusat data dijangka berterusan memperlihatkan keseimbangan rumit antara kemajuan digital dan kelestarian sumber di Asia Tenggara. - AFP

