Singtel, KKR peroleh pusat data ST Telemedia dengan nilai AS$6.6b
Singtel, KKR peroleh pusat data ST Telemedia dengan nilai AS$6.6b
Pemerolehan bakal perkukuh kedudukan Singtel Group dalam sektor pusat data dengan jangkauan sejagat
Sebuah konsortium yang merangkumi Singtel dan diterajui firma pelaburan sejagat, KKR akan memperoleh ST Telemedia Global Data Centres (STT GDC) dalam salah satu urus niaga prasarana digital terbesar di Asia.
KKR dan Singtel akan mendapat pemilikan penuh STT GDC dengan memperoleh 82 peratus kepentingan yang dipegang anak syarikat Temasek, ST Telemedia, dengan harga AS$6.6 bilion ($8.39 bilion) secara tunai.
Sebelum ini, KKR memegang sekitar 14 peratus dan Singtel pula memegang 4 peratus kepentingan dalam STT GDC.
Urus niaga tersebut memberikan STT GDC nilai perusahaan sebanyak AS$13.8 bilion, ujar Singtel dalam satu pemfailan kepada Bursa Saham SGX pada 4 Februari.
Singtel akan melabur sekitar AS$740 juta dalam urus niaga tersebut dan memegang 25 peratus kepentingan dalam syarikat itu selepas ia dimuktamadkan.
KKR pula akan memiliki baki 75 peratus.
Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Singtel, Encik Arthur Lang, berkata:
“Pemerolehan ini merupakan satu langkah penting dalam usaha memperluas sumber pertumbuhan baru kami dalam prasarana digital, seperti yang digariskan dalam rancangan pertumbuhan Singtel28.
“Kehadiran STT GDC di pelbagai lokasi meningkatkan pendedahan kami kepada pasaran baru dan mengukuhkan kedudukan Singtel Group dalam sektor pusat data dengan jangkauan sejagat.”
Saham Singtel meningkat 1.85 peratus, atau sembilan sen, kepada $4.95 selepas sesi dagangan dibuka pada 4 Februari.
Laporan mengenai urus niaga yang dijangka berlaku itu telah mendorong harga saham Singtel naik 5.9 peratus sejak 2 Februari.
Permintaan tinggi berkaitan AI mendorong pertumbuhan luar biasa dalam keperluan pusat data, kerana pusat data menyediakan kuasa pengkomputeran serta keupayaan penyimpanan data yang besar.
Ia juga dilengkapi prasarana penyejukan canggih yang diperlukan untuk melatih dan menjalankan model AI berskala besar.
Firma perkhidmatan analisa data dan penyelidikan hartanah, JLL Research, menjangkakan pasaran pusat data sejagat bakal berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 15 peratus sehingga 2027.
STT GDC ditubuhkan pada 2014 oleh ST Telemedia dan berpangkalan di Singapura, di mana ia mempunyai enam pusat data.
Secara keseluruhan, syarikat itu mengendalikan lebih 100 pusat data di 12 pasaran utama di serata Asia-Pasifik, Britain dan Eropah.
Penganalisis RHB mengekalkan cadangan supaya para pelabur membeli saham Singtel dalam laporan yang dikeluarkan pada 2 Februari, menyusuli laporan media mengenai rundingan lanjut untuk mengambil alih STT GDC.
Mereka menambah bahawa urus niaga itu dijangka menjadi transaksi pengambilalihan pusat data terbesar yang dibiayai dengan dana yang dipinjam, sejak pengambilalihan AirTrunk di Australia bernilai AS$24 bilion oleh Blackstone pada 2024.
“Kami melihat perkembangan ini secara positif kerana ia berpotensi menjadikan Singtel sebagai satu kuasa besar dalam sektor pusat data dengan jangkauan sejagat,” kata para penganalisis itu.
“Urus niaga ini selaras dengan tumpuan pihak pengurusan untuk mengembangkan perniagaan pusat data serantau syarikat, yang merupakan satu sumber pertumbuhan utama di bawah teras syarikat bagi prasarana digital,” tambah beliau.
Pengambilalihan STT GDC oleh Singtel mengembangkan perniagaan pusat data sedia adanya, Nxera, yang mempunyai tiga kemudahan di Singapura dan satu kemudahan di Malaysia, Indonesia dan Thailand.
“Apabila digabungkan dengan portfolio aset pusat data kami yang merangkumi Nxera, di mana KKR juga merupakan rakan modal, ia mengubah landskap perniagaan kumpulan secara positif, sambil mewujudkan peluang baru untuk pengoptimuman dan pertumbuhan modal,” kata Encik Lang.

