BANDAR SERI BEGAWAN: Putera Brunei, Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen, sekali lagi mencuri perhatian ramai selepas berkongsi gambar terbaharu anak perempuannya yang berusia tiga bulan di media sosial, sekali gus memberikan peluang jarang diperoleh kepada orang ramai untuk melihat sisi kehidupan keluarganya.

Gambar yang dimuat naik di Instagram pada 1 Jun lalu itu memaparkan Putera Mateen, 34 tahun, berdiri di sebelah isterinya, Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam yang sedang mendukung bayi mereka, Zahra Mariam Bolkiah.

Keluarga diraja itu dilihat bergambar di kawasan berumput dengan latar belakang pelangi berkembar, mencetuskan pelbagai reaksi positif dalam kalangan pengikut mereka di media sosial.

Ramai pengguna Instagram meluahkan rasa gembira dan mendoakan kebahagiaan keluarga diraja Brunei itu.

“Masya-Allah, cantik sungguh keluarga ini,” tulis seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi pengikut berkata: “Puteri Zahra sangat comel. Semoga keluarga diraja sentiasa diberkati.”

Perkongsian itu turut mendapat perhatian kerana Putera Abdul Mateen jarang berkongsi secara terbuka kehidupan peribadinya sebelum ini.

Namun sejak kelahiran anak pertama mereka pada Februari lalu, beliau dan Puteri Anisha semakin kerap berkongsi detik keluarga bersama rakyat Brunei dan pengikut antarabangsa.

Pada April lalu, pasangan itu turut memuat naik gambar ketika bercuti di luar negara bersama Puteri Zahra.

Putera Mateen juga pernah berkongsi gambar dirinya menjaga dan mendukung anaknya di rumah, sesuatu yang jarang dilihat melibatkan anggota keluarga diraja Brunei sebelum ini.

Beliau adalah anak ke-10 Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang kini berusia 79 tahun.

Putera Mateen antara anggota keluarga diraja Brunei yang paling dikenali di peringkat antarabangsa dan sering mewakili institusi diraja dalam pelbagai acara rasmi serta diplomatik.

Perhatian terhadap Putera Mateen turut meningkat pada 3 Jun selepas Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan rombakan Kabinet dengan melantik beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Brunei.

Pelantikan itu berkuat kuasa mulai 4 Jun 2026 untuk tempoh empat tahun.

Dalam rombakan sama, abang beliau, Pengiran Muda Abdul Malik dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah kekal sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Sultan Hassanal pula terus memegang jawatan Perdana Menteri selain portfolio Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan.

Pelantikan Putera Mateen ke jawatan penting kerajaan dilihat sebagai langkah memperkukuh generasi baharu kepimpinan Brunei.

Selain dikenali sebagai anggota kerabat diraja, Putera Mateen juga mempunyai pengaruh besar di media sosial dengan jutaan pengikut dari seluruh dunia.

Beliau sering menjadi perhatian kerana imejnya yang aktif, moden dan dekat dengan generasi muda.

Pada 2016, majalah Tatler menamakan beliau sebagai antara jejaka bujang paling menjadi rebutan di Asia.

Putera itu juga dikenali kerana minat mendalam terhadap sukan polo dan pernah mewakili Brunei pada Sukan SEA 2017 dan 2019.

Majlis perkahwinan Putera Mateen dan Puteri Anisha pada Januari 2024 sebelum ini turut menjadi perhatian antarabangsa.

Majlis diraja yang berlangsung selama beberapa hari itu mendapat liputan meluas media dunia dan dihadiri pemimpin serta tetamu kenamaan dari pelbagai negara.

Puteri Anisha pula dikenali sebagai usahawan dalam bidang pelancongan budaya dan memiliki ijazah dari University of Bath di Britain. – Agensi berita.