Puteri Anne daripada Britain akan melakukan kunjungan ke Singapura pada November untuk menandakan 60 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Puteri Diraja itu akan ditemani suaminya, Naib Laksamana, Sir Tim Laurence, semasa lawatan dua harinya pada 12 dan 13 November, menurut laman web rasmi keluarga diraja.
Puteri Anne, 75 tahun, ialah kakak kepada Raja Charles III. Beliau adalah anak kedua dan anak perempuan tunggal kepada mendiang Ratu Elizabeth II dan Putera Philip.
Menurut The Straits Times, beliau dilaporkan telah melawat Singapura sekurang-kurangnya dua kali sebelum ini - yang terbaru pada 2016 untuk Persidangan Pertanian Komanwel ke-27.
Dalam peranannya sebagai Presiden Persatuan Pertanian Diraja Komanwel, Puteri Anne pernah melawat Tanah Perkuburan Perang Kranji, yang diuruskan Suruhanjaya Kubur Perang Komanwel.
Dalam kunjungannya itu, beliau telah meletakkan kalungan bunga dan bertemu dengan wakil Liga Veteran Angkatan Bersenjata Singapura.
Lawatan pertamanya ke Singapura adalah pada 1972, ketika berusia 22 tahun.
Ketika itu, Puteri Anne menemani ibu bapanya dalam lawatan negara. Ia merupakan perhentian kedua dalam lawatan Asia Tenggara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg