Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puteri Thailand Bajrakitiyabha kritikal akibat jangkitan darah, dirawat rapi di hospital Bangkok

Aug 15, 2025 | 3:36 PM
(GAMBAR FAIL) Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Mahidol, menyampaikan ucapan pada hari pembukaan sesi ke-12 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di pejabat PBB di Geneva pada 14 September 2009. Puteri sulung Raja Thailand itu, yang telah sakit tenat di hospital selama lebih dua tahun, kini mengalami jangkitan darah yang serius, menurut kenyataan istana pada 15 Ogos 2025.
(GAMBAR FAIL) Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Mahidol, menyampaikan ucapan pada hari pembukaan sesi ke-12 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di pejabat PBB di Geneva pada 14 September 2009. Puteri sulung Raja Thailand itu, yang telah sakit tenat di hospital selama lebih dua tahun, kini mengalami jangkitan darah yang serius, menurut kenyataan istana pada 15 Ogos 2025. - Foto AFP

BANGKOK – Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, yang tidak sedarkan diri hampir tiga tahun akibat masalah jantung, kini dirawat kerana jangkitan darah yang serius, menurut kenyataan Biro Istana Diraja Thailand pada Jumaat, 15 Ogos.

Biro tersebut memaklumkan bahawa pada 9 Ogos lalu, pasukan perubatan mengesan jangkitan teruk dalam aliran darah puteri berusia 46 tahun itu. “Pasukan doktor telah memberikan pelbagai jenis antibiotik serta ubat untuk menstabilkan tekanan darah baginda,” menurut kenyataan itu.

Puteri Bajrakitiyabha, anak sulung kepada Raja Maha Vajiralongkorn daripada tujuh cahaya mata, dimasukkan ke hospital pada Disember 2022 selepas rebah akibat masalah jantung. Sejak itu, beliau dirawat di Hospital Memorial King Chulalongkorn, Bangkok, dengan bantuan peralatan sokongan untuk paru-paru dan buah pinggang.

Fungsi paru-paru dan buah pinggang baginda disokong dengan peralatan perubatan, sementara pasukan doktor memantau rapi setiap perkembangan,” jelas kenyataan itu lagi.

Sejak mula dirawat, doktor pernah beberapa kali mengesan jangkitan yang dirawat dengan antibiotik. Namun kali ini, jangkitan yang merebak ke dalam aliran darah disifatkan sebagai lebih serius dan memerlukan rawatan intensif.

Puteri Bajrakitiyabha dilihat oleh sebahagian penganalisis sebagai antara calon pewaris takhta, yang berpotensi menjadi ratu pertama Thailand. Raja Vajiralongkorn, 73 tahun, belum menamakan pewaris sejak menaiki takhta pada 2016.

Di seluruh Thailand, potret puteri dipamerkan di tempat awam bersama mesej mendoakan kesembuhan segera. Seorang penduduk Bangkok, Encik Somchai Rattanakul, berkata: “Kami berdoa setiap hari agar puteri kembali pulih. Puteri sangat berjasa kepada negara.”

Berpendidikan undang-undang dari Universiti Cornell, Puteri Bajrakitiyabha pernah berkhidmat sebagai diplomat ke Austria, memegang jawatan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Wanita dan Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah. Beliau juga pernah berkhidmat di Pejabat Peguam Negara serta memegang pangkat jeneral dalam unit Komando Keselamatan Diraja.

Biro Istana Diraja mengesahkan ini merupakan kenyataan keempat mereka mengenai kesihatan baginda sejak 2023. “Rawatan penuh sedang diberikan dan keadaan baginda dipantau rapi oleh pasukan perubatan,” kata kenyataan itu lagi. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg