LONDON: Puteri Wales telah memohon maaf “atas sebarang kekeliruan” yang timbul selepas beliau berkata telah menyunting gambar Hari Ibu bersama anak-anaknya.
Kenyataan beliau itu disiarkan di media sosial Istana Kensington, selepas lima agensi menarik balik gambar tersebut atas kebimbangan adanya penyuntingan.
“Seperti kebanyakan jurugambar amatur, saya kadang-kadang mencuba lakukan penyuntingan,” kata Cik Catherine atau Kate Middleton, dipetik BBC.
Awal sebelum ini, Cik Kate, 42 tahun, tidak kelihatan di khalayak ramai sejak menghadiri acara Hari Krismas dan menjalani pembedahan perut pada Januari, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai tahap kesihatannya.
Imej itu, yang diambil oleh Putera Wales, adalah yang pertama diedarkan memaparkan Cik Kate sejak beliau menjalani pembedahan pada Januari.
Lima agensi berkenaan, PA, Getty Images, AFP, Associated Press (AP) dan Reuters telah mengeluarkan imej tersebut daripada koleksi gambar mereka.
AP menyifatkan gambar tersebut “tidak konsisten dalam penjajaran tangan kiri Puteri Charlotte”.
Puteri Wales dilihat pada 11 Mac, keluar dari Windsor dengan sebuah kereta bersama Putera William, ketika beliau pergi ke perkhidmatan Hari Komanwel. Puteri Wales itu tidak menghadiri acara tersebut.
Dalam kenyataannya di X (dahulu Twitter), Cik Kate berkata:
“Saya ingin menyatakan permohonan maaf saya atas sebarang kekeliruan yang disebabkan oleh gambar keluarga yang kami kongsikan semalam. Saya harap semua yang meraikan Hari Ibu, sangat gembira.”
Permohonan maaf itu, yang disiarkan di media sosial itu adalah daripada akaun rasmi Putera dan Puteri Wales, tetapi ia mempunyai tanda peribadi ‘C’, untuk Catherine.
Beliau bertanggungjawab atas perubahan pada gambar itu, bukan suaminya Putera William yang mengambil gambar itu, atau sesiapa sahaja daripada kalangan pasangan diraja itu.
Menurut sumber diraja, terdapat “penyesuaian kecil” yang dibuat oleh Puteri Wales terhadap gambar yang kemudiannya disiarkan dalam talian oleh Istana Kensington.
Istana Kensington berkata ia tidak akan mengeluarkan semula gambar asal Cik Kate dan anak-anaknya yang belum disunting. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg