MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, bersetuju untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dalam tempoh terdekat bagi membincangkan potensi gencatan senjata di Ukraine,.
Demikian menurut penasihat dasar luar Kremlin, Encik Yuri Ushakov, pada 7 Ogos.
Encik Ushakov mengesahkan laporan bahawa Encik Trump merancang mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Encik Putin seawal minggu hadapan.
Beliau berkata: “Pihak Amerika telah mencadangkan, dan kami bersetuju secara prinsip, untuk mengadakan pertemuan peringkat tertinggi antara Presiden Vladimir Putin dengan Donald Trump.”
Meskipun tidak mendedahkan lokasi mesyuarat, Encik Ushakov berkata Russia dan Amerika telah bersetuju tentang tempat pertemuan dan sedang bekerjasama dengan rakan sejawat Amerika untuk menyiapkan butiran perbincangan.
“Kami belum dapat mengesahkan tarikh tepat kerana masih dalam fasa persiapan, tetapi persetujuan awal telah dicapai,” katanya kepada media tempatan.
Pengumuman itu diumumkan sehari selepas Encik Putin menerima kunjungan utusan Encik Trump, Encik Steve Witkoff, di Kremlin bagi sesi perbincangan hampir tiga jam yang disifatkan sebagai “membina”.
Ini adalah lawatan keempat Encik Witkoff ke Moscow sejak Encik Trump mengambil alih pentadbiran pada Januari, walaupun rundingan sebelum ini belum membawa kepada sebarang kejayaan besar.
Encik Trump, dalam sidang media di Rumah Putih pada malam 6 Ogos, berkata terdapat “peluang besar” untuk beliau bertemu Encik Putin dan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, dalam satu sidang puncak bersama bagi membincangkan penamatan perang.
Namun, Kremlin setakat ini tidak memberikan sebarang ulasan terhadap kemungkinan sidang tiga hala tersebut.
Encik Zelensky, dalam kenyataannya di wadah X, menyambut baik cadangan mesyuarat pemimpin:
“Kami di Ukraine telah berkali-kali menyatakan bahawa penyelesaian sebenar hanya boleh dicapai melalui pertemuan di peringkat tertinggi.”
Beliau menambah bahawa “masa dan skop isu yang perlu dibincangkan perlu ditentukan segera”.
Sementara itu, Encik Trump memberi tekanan kepada Russia agar bersetuju dengan gencatan senjata sebelum 8 Ogos.
Jika tidak, Amerika akan mengenakan tarif kepada pembeli minyak Russia dan mungkin memperluas sekatan ekonomi.
Encik Trump, yang sebelum ini berjanji menamatkan perang Ukraine dalam masa sehari semasa kempen pilihan rayanya, kini dilihat mengambil pendekatan lebih berhati-hati.
“Saya tidak mahu menyebut ini sebagai kejayaan besar. Kita telah berusaha ke arah ini untuk sekian lama. Ramai anak muda telah terkorban. Saya di sini untuk mengakhirinya,” kata beliau kepada pemberita.
Sebagai tanda tekanan yang kian meningkat, Rumah Putih pada 6 Ogos mengesahkan bahawa Encik Trump telah menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif 25 peratus ke atas import dari India susulan pembelian berterusan minyak Russia oleh negara itu.
Ukraine dan Russia masih bertegang urat dalam rundingan yang tidak membuahkan hasil sejak tiga pusingan pertemuan di Istanbul.
Konflik yang kini memasuki tahun keempat terus berlarutan dengan serangan udara besar-besaran oleh Russia, meskipun amaran berulang kali daripada Barat.
Antara tuntutan utama Russia yang dianggap tidak boleh diterima oleh Kyiv dan rakan Barat termasuk penarikan balik tentera Ukraine dari empat wilayah yang sebahagiannya diduduki (Donetsk, Luhansk, Kherson dan Zaporizhzhia), pengiktirafan antarabangsa terhadap Crimea sebagai sebahagian daripada Russia, serta penolakan sebarang usaha Ukraine untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Encik Putin turut menuntut pengurangan besar-besaran ke atas kekuatan tentera Ukraine, penggunaan bahasa Russia sebagai bahasa rasmi negara, dan penghapusan semua sekatan antarabangsa ke atas Russia.
Di sebalik semua itu, Amerika meluluskan tambahan bantuan ketenteraan sebanyak AS$200 juta ($256 juta) kepada Ukraine, termasuk sokongan bagi pengeluaran dron, sebagai tanda berterusan sokongan Washington terhadap Kyiv. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg