Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump umum hantar peluru berpandu Patriot ke Ukraine, utusan AS lawat Kyiv

Jul 14, 2025 | 8:43 PM
Gambar edaran yang dirakam dan dikeluarkan oleh Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine pada 13 Julai 2025, menunjukkan pasukan penyelamat membersihkan runtuhan untuk mencari mayat seorang wanita tempatan yang terkorban di tapak sebuah rumah persendirian yang terbakar, susulan serangan bom panduan udara oleh Russia di perkampungan Velykomykhaylivka, wilayah Dnipropetrovsk, dalam konteks pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Gambar edaran yang dirakam dan dikeluarkan oleh Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine pada 13 Julai 2025, menunjukkan pasukan penyelamat membersihkan runtuhan untuk mencari mayat seorang wanita tempatan yang terkorban di tapak sebuah rumah persendirian yang terbakar, susulan serangan bom panduan udara oleh Russia di perkampungan Velykomykhaylivka, wilayah Dnipropetrovsk, dalam konteks pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. - Foto AFP

KYIV/WASHINGTON: Utusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Ukraine, Encik Keith Kellogg, memulakan rundingan di Kyiv pada 14 Julai berhubung isu keselamatan dan sekatan terhadap Rusia, susulan pengumuman Trump untuk menghantar peluru berpandu pertahanan udara Patriot ke Ukraine.

Dalam satu perubahan ketara daripada pendiriannya sebelum ini, Encik Trump juga dijangka mengumumkan rancangan baru untuk membekalkan senjata ofensif kepada Ukraine, menurut laman berita Amerika, Axios, yang memetik dua sumber yang mengetahui perkara itu.

Langkah Encik Trump itu menunjukkan kekecewaannya yang semakin mendalam terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin, berikutan kegagalan usaha gencatan senjata yang diketuai Amerika dalam perang yang telah berlangsung lebih tiga tahun di Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, yang dijangka bertemu Encik Kellogg di ibu negara Ukraine, mahu memperkukuh keupayaan pertahanan bagi menghadapi serangan peluru berpandu dan dron dari Russia. Russia kini menguasai kira-kira satu perlima wilayah Ukraine, sedang mara di timur dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berundur daripada matlamat perang utamanya.

“Kita akan hantar Patriot kepada mereka, yang sangat mereka perlukan, kerana Putin benar-benar mengejutkan ramai orang. Dia bercakap dengan baik pada siang hari dan kemudian mengebom semua orang pada waktu malam,” kata Encik Trump kepada wartawan di Pangkalan Udara Bersama Andrews, di luar Washington pada 13 Julai.

“Kita pada asasnya akan menghantar pelbagai peralatan ketenteraan berteknologi tinggi kepada mereka. Mereka akan bayar kita 100 peratus untuk itu, dan itulah caranya yang kita mahukan,” ujar Encik Trump lagi.

Encik Trump tidak menyatakan berapa banyak sistem Patriot yang akan dihantar ke Ukraine, namun beliau berkata kosnya akan dibayar balik oleh Kesatuan Eropah. Encik Trump juga dijadual bertemu Setiausaha Agung NATO, Encik Mark Rutte, minggu ini untuk membincangkan isu Ukraine dan hal-hal lain, manakala Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius, pula akan melawat Washington bagi berbincang dengan Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth.

Berlin telah menawarkan untuk membiayai sistem Patriot bagi Ukraine, menurut cadangan yang diumumkan oleh Canselor Friedrich Merz, dan kini muncul sebagai pemain penting ketika negara-negara Eropah dalam NATO meningkatkan kekuatan ketenteraan mereka di bawah tekanan Amerika.

Encik Putin telah memberitahu Encik Trump melalui panggilan telefon pada 3 Julai bahawa Moscow mahukan penyelesaian secara rundingan bagi menamatkan perang, namun tidak akan berkompromi terhadap matlamat asalnya, menurut seorang pembantu Kremlin.

Setahun lalu, Encik Putin dikatakan bersedia menghentikan perang melalui gencatan senjata yang mengiktiraf garis medan tempur sedia ada, menurut laporan Reuters ketika itu. Namun dalam rundingan bulan Jun lalu, Russia menetapkan syarat damai yang keras, termasuk menuntut Ukraine menyerahkan lebih banyak wilayah dan menerima had terhadap saiz tenteranya.

Encik Putin menyatakan bahawa Russia terpaksa melancarkan perang di Ukraine bagi menghalang negara itu daripada menyertai NATO dan dijadikan pelantar serangan oleh pakatan Barat terhadap Russia. Ukraine dan sekutunya di Eropah menyifatkan alasan itu sebagai helah semata-mata untuk melancarkan perang ala empayar.

Encik Zelenskiy berkata beliau telah mengarahkan komander tenteranya untuk membentangkan maklumat kepada Encik Kellogg mengenai keupayaan Russia dan prospek ketenteraan Ukraine.

“Pertahanan, memperkukuh keselamatan, senjata, sekatan, melindungi rakyat kami, mempererat kerjasama antara Ukraine dan Amerika Syarikat — banyak perkara perlu dibincangkan,” tulis Ketua Pentadbiran Presiden Ukraine Encik Andriy Yermak, di aplikasi Telegram.

Ratusan ribu orang, termasuk orang awam dari kedua-dua pihak, telah terbunuh atau cedera dalam konflik darat terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Dalam pertempuran terbaru yang dilaporkan, dron Ukraine menyerang sebuah pusat latihan di Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia di tenggara Ukraine pada petang 13 Julai, menurut pentadbiran yang dilantik Rusia di loji berkenaan pada Isnin. Ukraine belum mengulas mengenai serangan yang didakwa itu. – REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg