Topik diikuti
Pergi ke BHkuGencatan serangan sektor tenaga Ukraine yang diumum Trump cetus kekeliruan
Russia terus serang beberapa loji jana kuasa Ukraine
Gencatan serangan sektor tenaga Ukraine yang diumum Trump cetus kekeliruan
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump menimbulkan kekeliruan pada 11 Oktober dengan mengumumkan “gencatan serangan sektor tenaga” antara Ukraine dengan Russia.
Pengumuman itu mengejutkan Kyiv, mendapat sokongan sekutu Barat Ukraine sementara Moscow tidak memberi sebarang respons.
Namun, gencatan senjata itu nampak goyah apabila Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky berkata Russia menyerang beberapa loji jana kuasa Ukraine pada 11 Oktober, termasuk sebuah di ibu negara dan sebuah lagi di Kharkiv.
Serangan itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan kemarahan.
Pengumuman Encik Trump dibuat dua hari selepas beliau mengisytiharkan pelonggaran sementara sekatan Amerika ke atas diesel Russia.
Langkah itu mencetuskan kemarahan sekutu Eropah dan Kyiv, yang berkata ia hanya akan memberanikan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin.
“Berkuat kuasa serta-merta, ada GENCATAN SERANGAN SEKTOR TENAGA dalam perang antara Russia dengan Ukraine,” kata Encik Trump pada awal 11 Oktober di Truth Social.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju. Jangan langgarnya!” tambah beliau.
Encik Zelensky seolah-olah terkejut dengan pengumuman itu.
Beliau berkata sedang mencari butiran lanjut, tetapi menambah bahawa “Ukraine menyokong gencatan senjata ini, dan penting juga bagi Russia menyokongnya”.
Russia belum mengesahkan persetujuannya.
Encik Zelensky kemudian berkata beberapa stesen jana kuasa Ukraine diserang dan “ruang udara Ukraine dipenuhi ‘shahed’ Russia sepanjang hari”.
Shahed ialah sejenis dron yang asalnya direka Iran dan kini digunakan secara meluas oleh Russia.
Sejak melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas negara jirannya pada 2022, Russia menyerang infrastruktur tenaga Ukraine secara sistematik.
Serangan itu menyebabkan kekurangan tenaga, lalu mendorong Ukraine membalas dengan menyerang kilang minyak Russia yang didakwa membiayai perang.
Baru-baru ini, perang Encik Trump di Iran menyebabkan kekurangan minyak dan kenaikan harga berikutnya.
Ini mewujudkan cabaran besar kepada Parti Republikan pimpinannya menjelang pilihan raya separuh penggal awal November.
Gencatan terbaru itu nampaknya mendapat sokongan sekutu utama Barat Ukraine pada 11 Oktober, termasuk Britain, Perancis, Canada dan Suruhanjaya Eropah.
Beberapa pemimpin menggesa Russia mematuhi perjanjian itu.
Namun, sokongan itu berbeza sekali dengan kritikan meluas terhadap perjanjian diesel Amerika-Russia awal minggu ini, yang menyebabkan ketegangan antara Encik Trump dengan Encik Zelensky semakin meningkat.
Encik Zelensky menyifatkan perjanjian diesel itu sebagai “keputusan yang lemah”.
Beberapa sekutu Eropah Ukraine pula meluahkan kemarahan dan berikrar meningkatkan tekanan terhadap Moscow.
Tujuh senator Amerika, termasuk empat daripada Parti Republikan, mengeluarkan kenyataan pada 11 Oktober yang mengecam perjanjian diesel dengan Russia itu dan menyatakan ia menyalahi undang-undang.
Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, turut menyuarakan kritikan pada 11 Oktober selepas berbual dengan Encik Zelensky.
Beliau berkata perjanjian diesel itu “bertentangan secara langsung dengan usaha Ukraine, Canada dan sekutu kami untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di Eropah”.
Ditanya tentang kritikan itu pada 10 Oktober, Encik Trump berkata sudah tiba “masa untuk Ukraine mendapat presiden baharu” yang akhirnya dapat menyelesaikan perang.
Encik Zelensky membalas dengan memberitahu ABC News bahawa “terpulang kepada masyarakat kami, kepada rakyat kami untuk memilih seorang pemimpin”.
Beliau berkata harga bahan api meningkat disebabkan perang di Timur Tengah dan Selat Hormuz yang disekat.
“Semua orang faham,” katanya. – Agensi berita.