Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Qatar: Pengeboman berterusan sukarkan gencatan senjata baru di Gaza

Dec 11, 2023 | 1:41 PM
TIADA LAGI TEMPAT SELAMAT: Para penduduk dilihat memeriksa bangunan yang telah musnah akibat dibom tentera Israel di Rafah, selatan Gaza.
TIADA LAGI TEMPAT SELAMAT: Para penduduk dilihat memeriksa bangunan yang telah musnah akibat dibom tentera Israel di Rafah, selatan Gaza. - Foto AFP

GAZA: Pengeboman Israel ke atas Gaza “menyempitkan tetingkap peluang” untuk gencatan senjata baru, kata Perdana Menteri Qatar.

Bercakap di Forum Doha, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani berkata bahawa Qatar akan meneruskan usahanya untuk menekan kedua-dua pihak supaya melaksanakan gencatan senjata.

Negara Teluk itu memainkan peranan penting dalam merundingkan gencatan senjata selama seminggu dalam keganasan pada akhir November, yang membenarkan pembebasan tebusan.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata pada 10 Disember bahawa “perang sedang rancak berjalan”.

Beliau berkata dalam beberapa hari kebelakangan ini “berpuluh-puluh pengganas Hamas” telah “meletakkan senjata mereka dan menyerahkan diri mereka kepada tentera kami”. “Ini adalah permulaan pengakhiran bagi Hamas,” tambahnya, lapor BBC.

Komen itu dibuatnya ketika krisis kemanusiaan di Gaza terus bertambah buruk.

Agensi kesihatan Hamas di Gaza berkata bahawa hampir 18,000 rakyat Palestin telah terbunuh sejauh ini dalam pertempuran Israel dengan Hamas.

Dalam mesej audio kepada pemberita, sayap bersenjata Hamas berkata gencatan senjata sementara telah “membuktikan kredibilitinya” dan tiada lagi tebusan akan dibebaskan sehingga Israel terlibat dalam rundingan.

Dalam mesej itu, jurucakapnya, Encik Abu Ubaida, juga berkata Hamas telah memusnahkan sepenuhnya atau sebahagiannya 180 kenderaan tentera dan membunuh “sebilangan besar” askar Israel, dan bahawa ia masih memberikan tentangan hebat ke atas Israel, dan “apa yang akan datang adalah lebih besar kelak”.

Dalam persidangan di Doha pada 10 Disember, ketua Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi pelarian Palestin berkata kawasan itu telah menjadi “neraka di bumi” dan “sudah tentu keadaan terburuk yang pernah saya lihat”.

Turut berucap pada persidangan itu, Perdana Menteri Palestin, Encik Mohammad Shtayyeh, berkata Israel “tidak boleh dibiarkan terus melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa” dan menggesa agar sekatan antarabangsa dikenakan terhadap negara itu.

Encik Shtayyeh mewakili Penguasa Palestin, organisasi yang beroperasi di Tebing Barat dan berasingan daripada Hamas yang beroperasi di Gaza.

Ketika persidangan itu berlangsung di Doha, pengeboman dan pertempuran terus semakin sengit di Khan Younis.

Bercakap kepada pemberita, penasihat kanan Israel, Encik Mark Regev, berkata akan berlaku “pertempuran sukar” di Khan Younis, dan menggesa orang awam supaya “bergerak ke zon selamat”.

Ketika ditanya mengenai situasi di kawasan yang disebut Israel sebagai kawasan selamat, Encik Regev berkata negaranya telah melakukan usaha maksimum untuk cuba melindungi nyawa orang awam.

Orang awam di Gaza sebelum ini telah dinasihatkan supaya pergi ke “zon selamat” di al-Mawasi yang hanya seluas 8.5 kilometer persegi.

Kawasan itu lebih kecil daripada Lapangan Terbang Heathrow London, mempunyai sedikit bangunan dan sebahagian besarnya terdiri daripada bukit pasir dan tanah pertanian. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg