Topik diikuti
Pergi ke BHkuQatar teruskan usaha pengantaraan AS-Iran redakan ketegangan
Pentadbiran AS kekal sedia cari penyelesaian walaupun selepas pilihan raya pertengahan penggal
Qatar teruskan usaha pengantaraan AS-Iran redakan ketegangan
DOHA: Perdana Menteri Qatar berkata usaha pengantaraan negara itu antara Amerika Syarikat dengan Iran sedang diteruskan bagi mengelakkan keadaan di rantau ini daripada terkeluar daripada kawalan atau bertambah buruk, lapor Al Jazeera pada 7 November.
Pentadbiran Amerika kekal bersedia untuk mencari penyelesaian walaupun selepas pilihan raya pertengahan penggal.
Ia sekali gus memberi isyarat bahawa kepentingan Washington untuk mencapai perjanjian tetap tidak berubah, kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani.
Kemajuan besar telah dicapai dan Sheikh Al-Thani menyatakan keyakinan bahawa satu penyelesaian akhirnya boleh dicapai.
“Kita tidak boleh menunggu untuk mencapai perjanjian yang sempurna; kita berharap dapat mencapai perjanjian yang baik,” ujarnya.
Agensi berita separuh rasmi Iran, Tasnim, pula berkata pada 7 November laporan awal menunjukkan dua peluru berpandu telah membedil Pulau Qeshm, sambil menambah tiada maklumat rasmi mengenai kemungkinan kerosakan yang ditimpakan.
Setakat ini, Amerika masih belum mengumumkan sebarang serangan ke atas sasaran di dalam Iran seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Negara di rantau ini telah menjangkakan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang telah menangguhkan serangan ke atas Iran sepanjang minggu-minggu menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November, boleh memulakan semula serangan sebaik sahaja pengundian selesai.
Iran telah berulang kali menyatakan ia akan bertindak balas terhadap serangan baharu dengan menyerang sasaran Amerika dan Israel di negara-negara jiran.
Iran telah mencadangkan pelan tujuh harinya sendiri sejak September, yang sejauh ini ditolak oleh Encik Trump.
Pelan itu menggesa Washington untuk menarik balik sekatan ke atas pelabuhan Iran, mencairkan aset yang dibekukan, dan meluluskan laluan yang disokong Iran melalui Selat Hormuz yang membekalkan sepertiga bekalan minyak dunia.
Ekorannya, laluan laut yang dipertikaikan itu akan dibuka semula kepada perkapalan antarabangsa.
Media sebelum ini melaporkan bahawa pengantara Qatar akan mengemukakan kepada Amerika beberapa cadangan baharu yang dibincangkan dengan Teheran mengenai cara memenuhi syarat Iran bagi membuka semula Selat Hormuz, kata Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, lewat 2 November.
Beliau berkata maklum balas muktamad daripada Washington mungkin diterima pada beberapa hari kemudiannya.
Bercakap kepada wartawan Iran di New York, Encik Araghchi berkata beliau sekali lagi bertemu pengantara Qatar dan membincangkan beberapa pendekatan yang boleh memudahkan pelaksanaan syarat yang ditetapkan Tehran, lapor Agensi berita Anadolu. – Reuters.
“
“Kita tidak boleh menunggu untuk mencapai perjanjian yang sempurna; kita berharap dapat mencapai perjanjian yang baik.”