Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raja Permaisuri Agong jadikan kanak-kanak perempuan hadapi sindrom ‘werewolf’ anak angkat

Nov 4, 2023 | 5:30 AM
‘ANAK DARI SYURGA’: Raja Permaisuri Agong Malaysia, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, gelarkan kanak-kanak yang ingin diambilnya sebagai anak angkat  sebagai “anak dari syurga”, selepas pertemuan mereka di Sarawak baru-baru ini.
‘ANAK DARI SYURGA’: Raja Permaisuri Agong Malaysia, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, gelarkan kanak-kanak yang ingin diambilnya sebagai anak angkat sebagai “anak dari syurga”, selepas pertemuan mereka di Sarawak baru-baru ini. - Foto BERNAMA

SEORANG kanak-kanak perempuan yang dilahirkan dengan rambut muka dan bahagian atas badan yang berlebihan serta tanpa lubang hidung telah diambil sebagai anak angkat oleh Raja Permaisuri Agong Malaysia, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tunku Azizah menggelarkan kanak-kanak itu sebagai “anak dari syurga”, selepas pertemuan mereka di Sarawak baru-baru ini.

Beliau bertemu Missclyen Roland, yang berusia dua tahun pada 10 September semasa lawatan ke negeri timur Sabah dan Sarawak bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah, lapor The Straits Times (ST).

Tunku Azizah juga menawarkan untuk membayar perbelanjaan persekolahan dan rawatan perubatan anak itu.

“Saya berharap bantuan ini akan meringankan beban bapa Missclyen dalam menyediakan penjagaan dan membesarkannya,” tulis beliau dalam surat bertarikh 10 Oktober kepada ibu bapa kanak-kanak itu.

Surat itu dikongsi di Facebook oleh ibu Missclyen, Cik Theresa Guntin, 29 tahun, yang berkata tawaran itu adalah “satu penghormatan besar”.

Beliau juga mempunyai mesej untuk anaknya itu: “Awak sangat bertuah. Kami harap semuanya akan berjalan lancar.”

Suaminya, Encik Roland Jimbai, 49 tahun, berkata beliau menangis gembira apabila membaca surat itu.

“Saya tidak menyangka pertemuan singkat kami pada hari itu menarik perhatian Seri Paduka hingga ke tahap mengambil Missclyen sebagai anak angkatnya,” katanya kepada harian tempatan, Borneo Post.

Bapa empat anak itu juga memberitahu New Sarawak Tribune: “Ini bermakna anak kami Missclyen adalah seorang puteri, dan kami akan memanggilnya Puteri Missclyen.”

Kanak-kanak itu disahkan menghidap hipertrikosis (pertumbuhan rambut yang berlebih-lebihan) umum kongenital, iaitu penyakit jarang yang dicirikan oleh pertumbuhan rambut yang berlebihan di seluruh badan.

Ia kadangkala dirujuk sebagai sindrom werewolf (serigala jadian). Dia juga dilahirkan tanpa lubang hidung.

Encik Roland, yang bekerja sebagai pengimpal, berharap kehidupan anak bongsunya kini bertambah baik, terutama kesihatan dan pendidikannya.

“Keluarga saya pernah mengalami stigma sosial pada masa lalu kerana rupa dan keadaan Missclyen. Namun, mulai hari ini dan apabila dewasa, dia akan sentiasa dihormati kerana Raja Permaisuri Agong mengambilnya sebagai anak angkat,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan untuk bertemu lagi Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg