Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agong seru pertahan perpaduan, tolak perbezaan

Sep 7, 2023 | 2:00 PM
CUBA MAKANAN TRADISIONAL: Sultan Abdullah Ahmad Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tiga dan empat dari anan) mencuba pelbagai jenis makanan tradisional ketika melawat Perkampungan Budaya, Persatuan Kebudayaan Kadazadusun (KDCA) Penampang di Sabah.
CUBA MAKANAN TRADISIONAL: Sultan Abdullah Ahmad Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tiga dan empat dari anan) mencuba pelbagai jenis makanan tradisional ketika melawat Perkampungan Budaya, Persatuan Kebudayaan Kadazadusun (KDCA) Penampang di Sabah. - Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Abdullah Ahmad Shah, berkata kesatuan jitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah kekuatan utama yang membentuk negara Malaysia.

Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama berusaha mempertahankan kesatuan itu dan menolak segala perbezaan, selain menghayati sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia demi masa depan negara yang gemilang.

“Bagaikan aur dengan tebing, serumpun laksana serai, kesatuan yang jitu antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah kekuatan yang membentuk sebuah negara yang bernama Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Sultan Abdullah berkata demikian pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah Sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu. Turut hadir ialah Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sultan Abdullah berkata keberangkatan beliau ke Sabah juga diharap dapat membina jambatan silaturahim yang berupaya mengukuhkan ikatan perpaduan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

“Kita semua, baik dari Sabah, Sarawak mahupun Semenanjung, adalah sebuah negara merdeka yang berdiri megah di bawah satu bendera yang bernama ‘Jalur Gemilang’,” ujarnya.

Sultan Abdullah menambah bahawa sepanjang perjalanan Kembara Kenali Borneo, beliau dan isterinya dapat mengenali budaya pelbagai etnik, makanan tradisi, alat muzik tempatan dan tarian tradisional masyarakat Sabah.

“Saya juga amat gembira akan layanan mesra dan keramahan rakyat yang saya temui di sepanjang perjalanan, yang terdiri daripada berbilang etnik dan suku kaum.

“Saya telah mempelajari bahawa rakyat Sabah terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik, ini adalah satu realiti yang amat menakjubkan,” katanya.

Sultan Abdullah berkata keharmonian yang wujud dalam kalangan rakyat Sabah di sebalik kepelbagaian mereka adalah lambang perpaduan di Malaysia dan wajar dijadikan teladan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg