STOCKHOLM: Walaupun Sweden dan Singapura telah menikmati hubungan bersama yang membuahkan hasil selama lebih setengah abad, kunjungan Raja Sweden dijangka mengukuhkan perkongsian jangka panjang yang lebih luas dan mendalam.
Lawatan negara ke Singapura yang diketuai oleh Raja negara Scandinavia itu, Carl XVI Gustaf dan Ratu Silvia itu akan berlangsung dari 19 hingga 21 November.
Matlamat kunjungan adalah untuk mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara dalam perdagangan, inovasi, pelaburan dan peralihan hijau.
Lebih 100 delegasi perniagaan akan melawat Singapura bersama pasangan diraja Sweden itu, lapor The Straits Times (ST).
Delegasi perniagaan itu adalah antara yang terbesar pernah dikumpulkan oleh Sweden untuk sebarang lawatan negara.
Ia mencerminkan minat kukuh firma Sweden untuk meneroka pasaran Singapura atau mengembangkan perniagaan sedia ada, kata Raja Sweden itu pada 12 November.
Raja Carl dan Ratu Silvia menerima kunjungan wartawan Singapura yang melawat istana diraja yang terletak di bandar lama di tengah-tengah ibu kota Sweden, Stockholm.
Pertemuan itu adalah sebahagian daripada lawatan media ke sana yang dihoskan oleh kerajaan Sweden dari 11 hingga 14 November, menjelang lawatan negara.
“Lawatan negara ini adalah untuk menunjukkan kesinambungan, diharap dapat meningkatkan kerjasama yang berpanjangan dalam apa jua jenis perniagaan, dan... semoga kita dapat meneroka sektor baru yang menarik (untuk bekerjasama),” kata Raja Carl kepada para pemberita.
Menggariskan persamaan antara Singapura dengan Sweden, beliau berkata:
“Kami adalah ekonomi yang agak kecil... ini bermakna kami terpaksa hidup dengan eksport sejak beberapa ratus tahun yang lalu.”
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa persaingan dalam rantaian bekalan sejagat adalah lebih sukar pada masa kini, dan Sweden dan Singapura adalah dua negara yang terkenal dengan inovator yang “tidak gentar” menghadapi persaingan itu bersama-sama.
Menurutnya, Sweden turut berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara Singapura mengekalkan kecekapan dan kebersihannya.
Sementara itu, Ratu Silvia melahirkan harapan agar Singapura dan Sweden dapat bekerjasama dengan lebih erat dalam penjagaan kesihatan, terutama dalam rawatan penyakit demensia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg