Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong rasmikan perkhidmatan dua kapal selam baru S’pura

Sep 24, 2024 | 8:46 PM
Antara kapal selam yang baru dirasmikan oleh Perdana Menteri Encik Lawrence Wong ialah ‘RSS Invincible’.
Antara kapal selam yang baru dirasmikan oleh Perdana Menteri Encik Lawrence Wong ialah ‘RSS Invincible’. - Foto ST

Dua kapal selam pertama kelas Invincible Tentera Laut Republik Singapura (RSN) telah dirasmikan perkhidmatannya oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 24 September 2024 di majlis yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Changi.

Upacara perasmian kapal selam kelas Invincible RSS Invincible dan RSS Impeccable – itu juga bertepatan dengan sejarah 25 tahun perkhidmatan kapal selam Singapura sejak negara ini memperoleh kapal selam pertama kelas Challenger pada 1995.

Dibina dan dilancarkan di Kiel, Jerman, kapal selam kelas Invincible dibina bersesuaian dengan keadaan dan kru Singapura serta berupaya dan mudah dikemudi berbanding generasi kapal selam RSN sebelum ini.

Berucap di upacara itu, Encik Wong menyatakan bahawa Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mesti terus berkembang untuk menghadapi ancaman semasa.

RSN, menurutnya, memainkan peranan penting dalam transformasi ini selepas permulaan yang sukar dengan hanya memiliki dua bot kayu dan kini berkembang menjadi sebuah angkatan laut yang moden dan canggih.

“Sebagai sebuah negara maritim, kelangsungan hidup dan kemakmuran Singapura bergantung pada pergerakan bebas dan tanpa halangan di lautan.

“RSN memainkan peranan penting dalam memastikan laluan laut kita terbuka dan selamat,” katanya.

Berucap di upacara perasmian kapal kelas ‘Invincible’, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menekankan mengenai kepentingan RSN dalam pertahanan Singapura.
Berucap di upacara perasmian kapal kelas ‘Invincible’, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menekankan mengenai kepentingan RSN dalam pertahanan Singapura. - Foto ST

Di upacara perasmian itu, Encik Wong ditemani Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan pegawai kanan pertahanan yang lain.

Menurut Komander Flotilla ke-7, Kolonel Fong Chi Onn, pembangunan kapal selam ini merupakan hasil daripada tinjauan mereka terhadap kapal selam lama sepanjang 25 tahun lalu.

“Kapal selam ini disesuaikan untuk memenuhi keperluan operasi khusus kami agar dapat beroperasi dengan lebih baik di perairan tempatan yang lebih cetek, sesak serta lebih masin.

“Oleh itu, beberapa pengubahsuaian telah dilakukan pada kapal selam ini untuk disesuaikan dengan iklim tropika,” ujar beliau. Beliau menambah kapal selam itu telah disesuaikan agar lebih mudah didiami oleh kru Asia yang memiliki susuk tubuh lebih kecil.

Selain itu, buat pertama kalinya, kapal selam tersebut kini lebih mesra wanita dengan adanya kabin khas bagi kru wanita. Ini merupakan langkah penting, lebih-lebih lagi dengan penyertaan kru kapal selam wanita.

Ia juga dilengkapi dengan tahap automasi yang tinggi, mempunyai kapasiti yang lebih besar, mampu bertahan lebih lama dalam air serta mempunyai ergonomik yang lebih baik.

Sebelum ini, RSN mempunyai dua kelas kapal selam buatan Sweden iaitu kelas Challenger, yang pertama kali rasmikan perkhidmatannya pada tahun 2000 dan kelas Archer pada 2011.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 24 September, pembangunan dua lagi kapal selam kelas Invincible, Illustrious dan Inimitable, sedang berjalan dengan baik di Jerman, dan dijangka dihantar ke Singapura jelang 2028.

Di upacara perasmian itu, Encik Wong turut melawat RSS Impeccable, di mana beliau diberi taklimat mengenai sistem dan keupayaannya.

Beliau juga memberikan penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam membangunkan industri kapal selam Singapura.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada perintis kapal selam kami. Mereka meletakkan asas bagi pasukan kapal selam hari ini, sering bekerja keras.

“Komitmen dan kecekalan mereka telah membolehkan kami mencapai kemajuan yang ketara dalam keupayaan kapal selam kami sepanjang 25 tahun yang lalu,” katanya.

Encik Wong turut memberi penghargaan kepada kru Invincible dan Impeccable, serta Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) dan ST Engineering dalam membina asas yang kukuh bagi kapal selam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg