Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemangku presiden Korea S jamin fungsi pemerintah kekal stabil

May 2, 2025 | 2:09 PM
Pemangku Presiden Korea Selatan, Encik Lee Ju-ho, berkata pada 2 Mei bahawa beliau akan memastikan fungsi pemerintah berjalan dengan stabil dan pilihan raya presiden berjalan dengan adil pada 3 Jun 2025.
Pemangku Presiden Korea Selatan, Encik Lee Ju-ho, berkata pada 2 Mei bahawa beliau akan memastikan fungsi pemerintah berjalan dengan stabil dan pilihan raya presiden berjalan dengan adil pada 3 Jun 2025. - Foto: EPA-EFE

SEOUL: Pemangku Presiden Korea Selatan Encik Lee Ju-ho berkata pada 2 Mei bahawa beliau akan memastikan fungsi pemerintah berjalan dengan stabil dan pilihan raya presiden pada 3 Jun diuruskan secara adil, berikutan peletakan jawatan perdana menteri dan menteri kewangan.

Encik Lee, yang juga memegang jawatan Menteri Pendidikan, mengambil alih sebagai pemangku pemimpin ketiga bagi ekonomi keempat terbesar di Asia, meneruskan tugas menerajui negara mengharungi kegawatan politik dan ekonomi yang dicetuskan oleh percubaan undang-undang tentera pada 2024 oleh Presiden yang digulingkan Yoon Suk Yeol dan tarif yang dikenakan pentadbiran Amerika Syarikat.

Beliau berhasrat bekerjasama rapat dengan Kabinet dan Parlimen yang diketuai pembangkang yang memecat Encik Yoon pada Disember 2024, dan cuba menstabilkan pentadbiran pemerintah.

“Saya percaya pentadbiran pentadbiran pemerintah beroperasi di bawah satu sistem. Saya akan cuba sedaya upaya memastikan fungsi pemerintah diurus dengan stabil,” katanya kepada pemberita.

Perdana Menteri Encik Han Duck-soo, yang telah berkhidmat sebagai pemangku presiden, meletak jawatan pada 1 Mei. Beliau dijangka menyertai pertandingan bagi merebut jawatan presiden.

Encik Han dijangka mengisytiharkan pencalonannya sebagai presiden pada 2 Mei.

Menteri Kewangan Encik Choi Sang-mok sepatutnya menyandang jawatan pemangku presiden mengikut undang-undang sebelum pilihan raya mengejut diadakan pada 3 Jun untuk memilih pemimpin baru, tetapi beliau secara tiba-tiba menarik diri sebelum tengah malam pada 1 Mei.

Encik Choi, yang telah memainkan peranan utama dalam tindak balas terhadap tarif Amerika, memohon maaf dalam satu kenyataan kerana tidak dapat meneruskan kerjanya ketika negara itu menghadapi keadaan ekonomi yang teruk di dalam dan luar negara.

Ketua parti pembangkang utama Korea Selatan, Encik Lee Jae-myung, pada 9 April mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pemimpin Parti Demokrat, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau bakal mengumumkan pencalonannya untuk pilihan presiden yang dijadualkan berlangsung pada 3 Jun ini.

“Saya akan mulakan tugas baru,” kata Encik Lee dalam satu mesyuarat kepimpinan parti yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube rasminya.

Pengunduran Encik Lee berlaku ketika beliau mendahului calon lain dalam tinjauan pendapat, dan dijangka menjadi pilihan utama bagi mengisi kekosongan jawatan presiden susulan pemecatan Encik Yoon berikutan pengisytiharan darurat tentera yang gagal pada Disember lalu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg