Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA PERTENGAHAN PENGGAL AMERIKA SYARIKAT

Rakyat AS pilih siapa bakal kuasai Kongres

Nov 08, 2022 | 05:30 AM



RAKYAT Amerika Syarikat kini memberi tumpuan kepada pelbagai isu yang diketengahkan pemimpin politik negara itu sempena pilihan raya pertengahan penggal hari ini.



Pada permulaan tahun ini, isu terbesar adalah mengenai isu kos sara hidup, imigresen dan jenayah, yang seakan memihak kepada parti konservatif Republikan.



Namun, ia berubah pada Jun lalu apabila Mahkamah Agung Amerika membuat keputusan membatalkan perlindungan berkaitan kebebasan pengguguran.



Ini sekali gus memberi dorongan kepada parti Demokrat, yang menyokong hak wanita untuk memilih dan telah menjadikan isu itu sebagai perkara utama dalam kempennya.



Namun, dengan keadaan inflasi kekal tinggi, kos sara hidup menjadi tumpuan semula ramai rakyat Amerika yang terjejas dengan harga barangan, termasuk harga makanan dan petrol kenderaan yang melambung.



KESAN KEPUTUSAN PILIHAN RAYA



Keputusan pilihan raya yang memihak kepada Republikan akan membolehkannya menguasai Dewan Senat akan menyukarkan pentadbiran Encik Biden.



Ini termasuk dalam pelantikan jawatan awam utama seperti Mahkamah Agung.



Penguasaan Dewan Senat, dan mungkin Dewan Perwakilan sekali, boleh benar-benar menjejas dasar Encik Biden dan ini termasuk bantuan Amerika kepada Ukraine yang sedang menentang pencerobohan Russia.



Ini akan mengakibatkan Encik Biden perlu menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang undang-undang yang disokong Republikan seperti larangan pengguguran, imigresen dan cukai properniagaan.



Pilihan raya pertengahan penggal juga sering dianggap sebagai cerminan kepada pencapaian presiden sejak dua tahun menguasai Rumah Putih.



Jika Demokrat dapat bertahan, maka ia akan membolehkan Encik Biden meneruskan rancangannya mengenai perubahan iklim, meluaskan program penjagaan kesihatan kendalian pemerintah, melindungi hak pengguguran selain mengetatkan kawalan senjata.



Jika Republikan pula dapat menguasai sama ada Dewan Senat atau Dewan Perwakilan, mereka akan dapat menggugat pelaksanaan agenda itu.



ISU PILIHAN RAYA



Parti Republikan mengetengahkan isu kos sara hidup dan telah meraih sokongan kuat rakyat Amerika.



Mereka mendakwa harga tinggi itu disebabkan dasar pentadbiran Encik Biden dan parti Demokrat.



Isu harga kos barangan sememangnya dekat di hati rakyat dan ini memberi kelebihan kepada Republikan.



Mengenai pengguguran, selepas mahkamah membatalkan perlindungan berkaitan kebebasan pengguguran, sokongan kepada Demokrat meningkat, khususnya dalam kalangan wanita.



Parti itu menjadikan isu tersebut sebagai isu utamanya dengan menyatakan ia akan terus menyokong kebebasan hak wanita untuk memilih berkaitan pengguguran.



Dalam isu imigresen, Republikan diketahui lebih tegas dan kurang setuju menerima ramai pendatang dari luar negara.



Rata-rata rakyat Amerika lebih cenderung menyokong dasar lebih tegas dan boleh memilih calon parti Republikan berbanding calon Demokrat bagi kerusi Dewan Senat atau Dewan Perwakilan.



Selain itu, kejadian serangan tembakan yang terus berleluasa di negara itu telah menjadikan isu keganasan senjata api perkara penting bagi rakyat Amerika.



Dalam hal ini, Demokrat lebih tegas dalam mahu mengawal pemilikan senjata api, sementara Republikan mempertahankan hak asas rakyat dalam memilikinya.



Pengundi boleh menentukan dasar mana yang mereka mahukan dengan mengundi anggota Dewan Perwakilan dan Senat mereka.



SERANGAN RUSSIA KE ATAS UKRAINE



Pencerobohan itu mendapat tentangan ramai rakyat Amerika, dengan ramai bersimpati tentang nasib rakyat Ukraine.



Demokrat memberi sokongan sepenuhnya termasuk bantuan besar-besaran kepada Ukraine dalam mempertahankan negara mereka.



Republikan juga menyokong namun menegaskan bantuan mestilah berpada-pada, memandangkan rakyat Amerika kini menghadapi lonjakan harga barangan di negara sendiri.



FAKTOR BIDEN



Rating Encik Biden kini agak rendah, sekitar 30-40 peratus, dan Republikan mahu meraih manfaat daripadanya.



Populariti beliau diramalkan boleh kekal rendah dengan Republikan terus memainkan isu ekonomi dan kos sara hidup tinggi dalam usaha menguasai Dewan Senat dan Perwakilan sempena pilihan raya pertengahan penggal kali ini.




PROSES BENTUK DEWAN PERWAKILAN DAN DEWAN SENAT



AMERIKA Syarikat mengadakan pilihan raya pertengahan penggalnya pada 8 November ini.



Pilihan raya itu adalah bagi pemilihan anggota Kongres, merangkumi dua bahagian - Dewan Perwakilan dan Dewan Senat.



Undian diadakan setiap dua tahun dan apabila ia jatuh pada pertengahan tempoh empat tahun penggal jawatan presiden, ia dipanggil pertengahan penggal.



Kongres membuat undang-undang negara.



Dewan Perwakilan memutuskan undang-undang mana yang diundi manakala Dewan Senat boleh menyekat atau meluluskannya, mengesahkan pelantikan yang dibuat presiden Amerika.



Setiap negeri mempunyai dua senator, yang memegang jawatannya selama selama enam tahun.



Wakil rakyat pula berkhidmat selama dua tahun, dan mewakili daerah lebih kecil.



Semua kerusi Dewan Perwakilan akan menjalani pilihan raya pada November ini, bersama satu pertiga, atau 35 kerusi, Dewan Senat.



Parti Demokrat sebelum ini memegang majoriti di Dewan Perwakilan dan Dewan Senat sejak dua tahun lalu.



Ini membantu Presiden Joe Biden untuk meluluskan undang-undang yang beliau mahukan.



Demokrat kini memegang 50 daripada 100 kerusi Senat, dengan 50 lagi dipegang Republikan.



Di Dewan Perwakilan, Demokrat memegang 220 kerusi daripada 435 keseluruhan kerusi yang ada.



Dalam pilihan raya kali ini, empat daripada 35 kerusi yang dipertandingkan di Senat boleh dimenangi kedua-dua parti.



Pertandingan penting dan sengit dijangka berlaku di Nevada, Arizona, Georgia dan Pennsylvania.



Daripada 435 kerusi Dewan Perwakilan pula, kebanyakannya adalah 'tempat selamat' yang dikuasai parti masing-masing, dengan 30 kerusi pada masa ini menjadi saingan sengit antara dua parti itu.



Kawasan pinggir bandar di negeri seperti Pennsylvania, California, Ohio dan North Carolina akan menjadi pertandingan penting.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >