JAKARTA: Rakyat Indonesia menyifatkan gandingan Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka sebagai ideal dan membawa harapan baru kepada negara.
Mereka melahirkan harapan Encik Prabowo akan melaksanakan semua program keutamaan yang disenaraikannya.
Antara lain beliau berikrar akan menjadi pemimpin yang bekerjasama dengan seluruh rakyat Indonesia dan berani menangani cabaran baru.
Ketika menyampaikan ucapan sulungnya sebagai presiden pada 20 Oktober selepas mengangkat sumpah, Encik Prabowo menyeru seluruh negara supaya berani bersamanya menempuhi cabaran seperti membasmi rasuah dan kemiskinan serta menjadikan Indonesia maju dalam bidang baru seperti tenaga.
“Ucapan Encik Prabowo memang hebat dan memberi motivasi, tetapi yang lebih penting: apa yang beliau sampaikan harus direalisasikan semasa kepimpinannya,” kata Cik Marlinda, seorang penduduk Jakarta.
Penduduk Tangerang, Banten, Encik Jonathan, memuji ucapan Encik Prabowo sebagai tegas dan penuh semangat.
Beliau menjangka semua program keutamaannya dapat direalisasi dalam lima tahun kerana ia akan memberi kesan besar kepada semua lapisan masyarakat.
Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jakarta (Kadin), Cik Diana Dewi, berkata:
“Pasangan ini gabungan yang ideal. Presiden Prabowo mewakili tokoh kaya dengan pengalaman, berwibawa dan komited untuk melindungi Republik Indonesia.”
Encik Gibran daripada generasi muda, memainkan peranan penting dalam era digital semasa.
Justeru, beliau berharap kepimpinan Prabowo-Gibran akan menjadikan Indonesia lebih makmur dan maju.
“Pelantikan mereka berdua akan memberi harapan baru kepada matlamat pembangunan negara ke arah mencapai wawasan Indonesia Emas 2045,” tambah Cik Diana.
Mewakili usahawan, Cik Diana berkata beliau menjangka pelantikan Encik Prabowo dan Encik Gibran menamatkan sebarang pertikaian semasa pemilihan presiden 2024.
“Inilah masanya untuk semua elemen negara bersatu dan menyokong pemerintah Prabowo-Gibran untuk bekerja dengan baik dan memenuhi keperluan pelbagai rakyat yang kompleks,” ujarnya.
Pakar ekonomi, Encik Hans Kwee, berkata pasaran kewangan mengalu-alukan pemerintah Prabowo-Gibran kerana Cik Sri Mulyani Indrawati akan dilantik semula sebagai Menteri Kewangan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg