Kementerian Kewangan (MOF) kini mengundang rakyat Singapura berkongsi pandangan mereka untuk Belanjawan akan datang, yang dijadual dibentangkan pada Februari 2026.
Belanjawan Singapura diadakan untuk setiap tahun kewangan, bermula 1 April dan berakhir 31 Mac tahun berikutnya.
Ia merangkumi unjuran pendapatan dan perbelanjaan pemerintah yang disemak untuk tahun kewangan semasa, serta anggaran bagi tahun kewangan akan datang.
Menurut The Straits Times (ST), individu, organisasi dan perniagaan boleh memberikan pandangan mereka dari 2 Disember hingga 12 Januari.
Dalam satu kenyataan pada 2 Disember, MOF menyenaraikan tema dan soalan berikut untuk maklum balas dan cadangan:
Memajukan ekonomi kita:
[ο] Bagaimanakah kita boleh memudahkan budaya keusahawanan menjadi lebih kukuh dan membangunkan ekosistem inovasi berdaya maju di Singapura?
[ο] Bagaimanakah kita boleh menyokong perniagaan di Singapura untuk bersaing dan berkembang di peringkat global?
[ο] Bagaimanakah caranya memperkasakan perniagaan dengan menggunakan teknologi baru, seperti kecerdasan buatan (AI), mengubah perniagaan dan merebut peluang pertumbuhan baru?
Mendapatkan pekerjaan yang baik:
[ο] Bagaimanakah kita boleh menyediakan pelajar dan pekerja kita mendapatkan pekerjaan baik, yang dapat berkembang di tengah-tengah ekonomi global yang tidak menentu dan perubahan teknologi?
[ο] Apakah halangan yang dihadapi oleh pekerja dalam memastikan kemahiran mereka sentiasa terkini dan bagaimanakah pemerintah boleh menyokong mereka?
[ο] Bagaimanakah kita boleh menggalakkan lebih ramai majikan untuk melabur dalam kerjaya dan pembangunan kemahiran pekerja mereka?
[ο] Bagaimanakah kita boleh membantu warga emas kekal produktif, mengimbangi keutamaan kerja dan kehidupan serta memenuhi keperluan persaraan mereka?
Memberi semangat kepada rakyat Singapura untuk maju bersama:
[ο] Bagaimanakah kita boleh memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang mencapai potensi sepenuhnya tanpa mengira latar belakang mereka?
[ο] Bagaimanakah kita boleh memberikan jaminan yang lebih besar untuk warga emas mencapai usia yang baik, dengan lebih banyak sokongan untuk mereka yang memerlukannya?
[ο] Apakah lagi yang boleh dilakukan untuk menyokong orang kurang upaya?
Maklum balas boleh dihantar menerusi laman web Belanjawan Singapura, laman mikro Reach Budget 2026, Facebook dan Instagram Reach Singapore, serta laman web ShareYourViews.
Unit maklum balas pemerintah, Reach, juga akan menganjurkan sesi mengumpulkan maklum balas orang ramai pada 21 Januari, antara 11.30 pagi dengan 2.30 petang di Geneo Mall dekat stesen MRT Kent Ridge.
Di samping itu, Persatuan Rakyat (PA) dan badan-badan akar umbinya akan mendekati rakyat Singapura bagi tujuan yang sama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg