Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semakan Strategi Ekon sasar beri perkembangan terkini semasa Belanjawan 2026

Idea, inisiatif akan dilaksana lebih awal jika ia disifatkan wajar
Nov 19, 2025 | 5:42 PM
Singapura, Semakan Strategi Ekonomi, ESR, Belanjawan, Jeffrey Siow
Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow (kiri), berkongsi idea dan maklum balas yang diterima jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) mengenai daya saing sejagat yang beliau pengerusikan semasa ditemui media pada 19 November. - Foto ST

Lima jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) yang ditubuhkan untuk menetapkan hala tuju jangka panjang ekonomi negara akan mula melaksanakan idea dan inisiatif terpilih lebih awal, sebelum laporan rasmi yang membentangkan saranan penuh mereka diterbitkan menjelang pertengahan 2026.

Ini akan dilakukan sekiranya idea dan inisiatif tersebut “adalah wajar” dan berpontensi memajukan ekonomi Singapura serta menjamin pekerjaan yang baik untuk pekerja tempatan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, pada 19 November.

Beliau menambah bahawa jawatankuasa tersebut juga merancang mengemas kini kemajuan usaha mereka sekitar musim Belanjawan 2026 – yang lazimnya dibentangkan pada sekitar Februari – sebelum laporan penuh dikeluarkan.

“Kami akan berpeluang untuk membincangkan idea dengan pihak berkepentingan utama dan orang ramai, serta mendapatkan sokongan dana.

“Kemudian, kami akan merumuskan idea-idea ini dan menjelang pertengahan tahun depan (2026), kami akan membentangkan laporan penuh dengan saranannya.

“Namun, dalam tempoh antara sekarang hingga pertengahan tahun depan, kami tidak akan sekadar menunggu laporan sebelum melaksanakan idea-idea ini.

“Jika ideanya wajar, kami akan melancarkan dan mula melaksanakannya,” tegas beliau.

Encik Siow berkata demikian ketika ditemui media di sesi pendekatan di mana tiga jawatankuasa ESR – yang memberi tumpuan kepada daya saing sejagat, teknologi dan inovasi, dan keusahawanan, mengadakan dialog bersama lebih 70 pemimpin perniagaan.

Dialog tersebut dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) di Capital Tower, Robinson Road pada 19 November.

Lima jawatankuasa ESR itu dibentuk pada Ogos 2025 sedang sebahagian daripada semakan strategi pemerintah untuk menetapkan hala tuju jangka panjang ekonomi negara.

Tugas lima jawatankuasa tersebut merangkumi bidang berikut: Daya saing sejagat; teknologi dan inovasi; keusahawanan; modal insan; dan mengendalikan kesan penyusunan semula.

Encik Siow dan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, merupakan pengerusi bersama bagi jawatankuasa mengenai daya saing sejagat.

Menyentuh isu pekerja dan pekerjaan, Encik Siow berkata antara perkara utama yang sedang diteliti adalah sama ada latihan kemahiran yang dijalani pekerja relevan dengan keperluan pekerjaan, dan jika lebih banyak usaha penambahbaikan diperlukan.

Beliau menekankan bahawa matlamat pertumbuhan ekonomi adalah untuk menjana pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura.

“Akan wujud pekerjaan baru untuk rakyat muda Singapura – pekerjaan masa depan dalam industri masa depan yang kami sasarkan.

“Turut akan wujud ialah pekerjaan baru dalam industri sedia ada, kerana teknologi terus berubah. Penyesuaian pekerjaan dan kemahiran amat perlu dilakukan, dan kami sangat menyedari akan perkara ini.

“Itulah sebabnya salah satu daripada lima jawatankuasa ESR itu khusus ditubuhkan untuk membantu perniagaan dan pekerja membuat peralihan, dan kami akan menyokong mereka sepenuhnya,” kata beliau.

Sementara itu, Naib Pengerusi SBF, Encik Andrew Kwan, turut hadir di sesi pendekatan yang diadakan, berkata masyarakat perniagaan sedang menghadapi dua kategori tekanan.

Yang pertama merupakan cabaran struktur yang “bertahap-tahap, kumulatif” yang telah lama membentuk persekitaran operasi Singapura, termasuk tekanan kos semakin meningkat dan cabaran modal insan.

Yang kedua pula adalah peralihan “tektonik” yang membentuk semula industri pada kadar lebih pantas, termasuk cabaran geopolitik dan kemunculan kecerdasan buatan (AI).

“Jika perniagaan gagal menyesuaikan diri, menerima dan menyelaraskan diri dengan realiti baru yang dibawa AI, maka akhirnya kita akan terpinggir… Peluang untuk mendekati dan mengadakan perbincangan terbuka melalui platform yang ditawarkan SBF adalah sangat kritikal,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg