Ramadan di Gaza: Kos iftar melonjak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ramadan di Gaza: Kos iftar melonjak

Feb 24, 2026 | 11:22 AM

Ramadan di Gaza: Kos iftar melonjak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ramadan, gaza, berbuka puasa, kos iftar
Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berkumpul untuk berbuka puasa di tengah runtuhan bangunan yang musnah di kem pelarian Jabalia, utara Jaluran Gaza, pada 23 Februari. - Foto AFP

GAZA: Selepas dua tahun konflik yang mencabar, rakyat Palestin di Gaza tetap menyambut Ramadan dengan ketabahan walaupun berdepan tekanan ekonomi yang berat ketika sekatan kemasukan makanan dan bekalan asas masih berterusan walaupun gencatan senjata dicapai pada Oktober lalu.

Suasana persiapan berbuka puasa yang lazimnya meriah kini berubah menjadi usaha harian mencari makanan asas, namun, semangat kebersamaan tetap dipelihara.

Analisis berdasarkan data rasmi Kementerian Ekonomi Gaza menunjukkan harga barangan asas meningkat sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, sekali gus menyukarkan penyediaan hidangan iftar lengkap bagi kebanyakan keluarga, lapor Al Jazeera.

Encik Mohammed Barbakh, Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan di kementerian itu, berkata data perbandingan harga sebelum perang dan pada awal Ramadan 2026 menunjukkan peningkatan.

“Kenaikan harga sangat ketara dan memberi kesan langsung kepada keupayaan keluarga menyediakan makanan harian,” katanya.

Harga ayam meningkat daripada 14 shekel ($5.68) sekilogram kepada 25 shekel, manakala ikan beku melonjak hampir tiga kali ganda daripada 8 shekel kepada 23 shekel sekilogram.

Daging merah beku pula naik daripada 23 shekel kepada 40 shekel sekilogram.

Telur yang sebelum ini berharga 13 shekel bagi 30 biji kini mencecah 35 shekel.

Sayur-sayuran yang menjadi asas pemakanan rakyat Palestin turut mencatat kenaikan mendadak.

Harga timun meningkat daripada 3 shekel kepada 12 shekel sekilogram, manakala tomato hampir dua kali ganda.

Keju yang menjadi komponen penting sahur turut naik sehingga 110 peratus, sekali gus meningkatkan kos hidangan sebelum fajar.

Berdasarkan data Biro Perangkaan Pusat Palestin, kos iftar asas untuk sebuah keluarga enam orang kini dianggarkan sekitar 150 shekel berbanding 79 shekel sebelum perang, peningkatan hampir 90 peratus.

Hidangan itu merangkumi dua ayam, nasi, salad, makanan sampingan, minuman ringan serta kos gas memasak dan minyak.

Sahur ringkas yang mengandungi keju, ‘hummus’, falafel dan roti pula meningkat daripada 18.6 shekel kepada 31.5 shekel.

Secara keseluruhan, kos harian untuk menyediakan makanan bagi keluarga bersaiz sederhana kini mencecah 181.5 shekel, naik hampir 88 peratus berbanding sebelum konflik.

Kenaikan harga berlaku ketika kuasa beli penduduk merosot teruk.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada akhir 2025 menunjukkan pendapatan tahunan per kapita di Gaza menjunam kepada hanya AS$161 ($203) pada 2024 berbanding AS$1,250 pada 2022.

Pasaran pekerja pula hampir lumpuh sepenuhnya.

Encik Sami al Amsi, Ketua Persekutuan Kesatuan Sekerja Palestin, berkata kadar pengangguran melebihi 95 peratus selepas bengkel, ladang dan bot nelayan musnah akibat perang.

“Pekerja tidak lagi mencari kerja kerana tiada pekerjaan langsung,” katanya.

Penyelidik ekonomi, Encik Ahmed Abu Qamar, mengaitkan inflasi melampau itu dengan sekatan ketat kemasukan barangan dan yuran penyelarasan yang dikenakan terhadap trak bantuan.

Menurutnya, protokol kemanusiaan menetapkan 600 trak perlu memasuki Gaza setiap hari, namun jumlah sebenar hanya sekitar 200 hingga 250 trak.

“Gaza sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 trak sehari untuk memenuhi keperluan minimum,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu monopoli import, kerana hanya sekitar 10 pedagang diberi kebenaran membawa masuk barangan melalui empat syarikat Israel.

“Sistem ini mengehadkan persaingan dan mengekalkan harga pada tahap tinggi secara tidak semula jadi,” jelasnya.

Encik Abu Qamar menyeru pembukaan penuh pintu sempadan serta pemulihan sistem pasaran bebas bagi mengurangkan beban rakyat yang sudah terhimpit konflik berpanjangan.

Walaupun terdapat sedikit penurunan harga selepas gencatan senjata diumumkan pada Oktober, parasnya masih jauh lebih tinggi berbanding sebelum perang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg