Ramadan pertama selepas gencatan senjata sinari Gaza
Keperluan asas masih kurang, ekon terjejas teruk akibat perang dua tahun
BANDAR GAZA: Tanglung-tanglung dan lampu-lampu dipasang di jalan-jalan yang berbidaikan bangunan punah-ranah dan puing-puing runtuhan di Bandar Gaza, membawa kegembiraan dan ketenangan ketika Ramadan menjelma - yang pertama sejak gencatan senjata dikuat kuasakan pada Oktober.
Di masjid Omari, berpuluh-puluh jemaah menunaikan solat subuh pertama pada Ramadan dengan memakai jaket tebal untuk menahan kesejukan musim dingin.
“Di sebalik pendudukan Israel, kemusnahan masjid dan sekolah, dan perobohan rumah penduduk...kami tetap datang untuk mengerjakan solat,” kata Encik Abu Adam, seorang penduduk Bandar Gaza.
“Malah malam tadi, apabila kawasan kami disasarkan, kami tetap bertekad pergi ke masjid,” tambahnya.
Sumber keselamatan di Gaza berkata pada 18 Februari bahawa tembakan artileri menyasarkan bahagian timur Bandar Gaza dilaporkan pada pagi itu.
Sumber itu menambah bahawa tembakan artileri juga menyasarkan kem pelarian di tengah Gaza.
Israel tidak membenarkan wartawan antarabangsa memasuki Jaluran Gaza, menghalang organisasi berita termasuk AFP daripada mengesahkan angka korban secara bebas.
Di selatan Gaza, puluhan ribu orang masih tinggal di khemah dan tempat perlindungan sementara sedang mereka menunggu pembinaan semula wilayah itu selepas gencatan senjata dilaksanakan Oktober tahun lalu.
Encik Nivin Ahmed, yang tinggal di sebuah khemah di kawasan Al-Mawasi, berkata bahawa Ramadan pertama tanpa peperangan ini membawa “perasaan yang bercampur-campur”.
“Kegembiraan itu hanya sementara apabila kami mengenang mereka yang terbunuh, masih hilang, ditahan di penjara atau pun mengembara,” katanya.
“Meja Ramadan dahulunya penuh dengan hidangan yang paling lazat dan menyatukan semua orang tersayang.
“Hari ini, saya hampir tidak dapat menyediakan hidangan utama dan hidangan sampingan. Semuanya mahal. Saya tidak boleh menjemput sesiapa untuk berbuka puasa atau sahur,” kata lelaki berusia 50 tahun itu.
Walaupun gencatan senjata telah dilaksanakan, kekurangan bekalan makanan masih kekal di Gaza yang ekonominya terjejas teruk akibat perang selama dua tahun antara Hamas dengan Israel.
Kebanyakan penduduk masih bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk keperluan asas mereka.
Gaza masih di bawah kawalan Israel dan disebabkan itu, barangan dan makanan yang dapat masuk tidak mencukupi untuk turunkan harga, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan Kemanusiaan.
Encik Mohammed al-Madhoun, 43 tahun, pula berkata: “Saya harap ini adalah Ramadan terakhir dalam khemah. Saya rasa pilu apabila anak-anak meminta saya membeli tanglung dan mengimpikan meja berbuka puasa dengan makanan kesukaan mereka.” – AFP.

