SEREMBAN: Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa masih ramai kaum Melayu yang tidak ingin keluar mengundi dalam pilihan raya.
Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa orang Melayu masih lagi tidak menyedari bahawa mengundi adalah suatu kuasa politik.
“(Peratusan) kaum lain keluar mengundi 90 peratus (tapi) orang Melayu (yang) keluar mengundi 70 peratus. Masih ramai yang tak mahu mengundi.
“Kalau kita tak mengundi, bermakna kita menghilangkan kuasa politik. Mana-mana parti yang menang pilihan raya, dia dapat kuasa politik.
“Maka orang Melayu Islam termasuk bukan Islam yang tidak ekstrem perlu menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membuat perubahan yang baik,” katanya semasa berucap pada Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best di Sendayan, pada Ahad malam.
Hadir sama, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Tan Sri Abdul Hadi juga mendakwa kemenangan PN dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini akan membolehkan berlakunya perubahan dalam Kerajaan Persekutuan.
“Kalau menang (enam negeri) ini, akan berlaku perubahan Kerajaan Pusat, itu maknanya. Maka kewajipan mengundi sangat besar,” katanya dipetik media Berita Harian Malaysia (BHM).
Dalam pada itu, menyentuh mengenai naratif kemenangan PN di enam negeri membolehkan Kerajaan Persekutuan bertukar, Datuk Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita selepas itu menyatakan, pelbagai cara boleh dilakukan.
“Di negara kita, walaupun ada Akta Anti Lompat Parti, tetapi ada proses undang-undang yang boleh dijalankan untuk menukar sesebuah kerajaan.
“Begitu juga kerajaan negeri lain, ada proses perundangan mengikut Perlembagaan yang boleh dibuat,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg