KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (AP) kerajaan dan pembangkang Malaysia menggesa Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik dibentangkan di Parlimen sebelum Mac 2024, atau selewat-lewatnya sebelum pilihan raya umum yang seterusnya.
Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi, Encik Khoo Poay Tiong, berkata ia adalah undang-undang penting dan rumit yang memerlukan masa untuk perbincangan, membentuk dasar dan proses parlimen.
“Kami berharap dapat meluluskannya pada penggal semasa dan sebelum pilihan raya umum akan datang.
“Kerajaan juga telah menyatakan komitmen terhadap Akta ini dan kami mengalu-alukan pertubuhan bukan kerajaan untuk melibatkan diri dengan kami dan memberi cadangan mereka,” kata AP Kota Melaka itu, lapor The Star.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan Kumpulan Parlimen Semua Parti Malaysia (APPGM) mengenai Pembiayaan Politik di Parlimen pada Rabu.
Pengerusi APPGM, Encik Wong Chen, berkata pembiayaan politik adalah penting untuk menghapuskan rasuah dalam kalangan parti politik.
“Kami telah mengadakan dua mesyuarat dan turun padang melalui mesyuarat dewan bandaran untuk menjelaskan mengapa ini penting kepada rakyat.
“Jika kita tidak mempunyai (rang) ini, sesiapa sahaja boleh menderma kepada parti politik yang akan menjejas usaha memerangi rasuah di negara ini.
“Ia adalah amalan demokrasi yang penting dan diamalkan negara demokrasi maju di peringkat global.
“Jika kita mahu Malaysia mencapai tahap antarabangsa, untuk kerajaan kita berfungsi dengan cekap dan tanpa rasuah, ini penting,” kata AP Subang Jaya itu.
Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan Malaysia sebelum ini sudah menyatakan komitmen untuk mengangkat semula rang itu bagi kelulusan dasar baru oleh Kabinet, namun tiada jangka masa bila ia akan dibentangkan.
“Kita juga akan berikan cadangan draf kita. Kalau boleh, kita cuba cepatkan pembentangan RUU ini, katakan bersidang pada akhir tahun ketika (pembentangan) Belanjawan atau selewat-lewatnya Mac tahun depan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, berkata kerajaan akan merujuk cadangan RUU Pendanaan Politik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Katanya, langkah itu membolehkan parti politik dan pihak berkepentingan memberi maklum balas bagi memastikan akta yang akan digubal bersifat menyeluruh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg