Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rasuah: Hakim Mahkamah Agung dihukum jel 10 tahun, denda 500j rupiah

Oct 16, 2024 | 10:27 AM
Hakim Mahkamah Agung yang tidak aktif, Gazalba Saleh, didapati bersalah oleh Mahkamah Rasuah atas kesalahan makan suap dan pengubahan wang haram.
Hakim Mahkamah Agung yang tidak aktif, Gazalba Saleh, didapati bersalah oleh Mahkamah Rasuah atas kesalahan makan suap dan pengubahan wang haram. - Foto fail

JAKARTA: Mahkamah Rasuah Jakarta menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Hakim Mahkamah Agung tidak aktif, Gazalba Saleh, selepas dia didapati bersalah menerima rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram.

Keputusan itu diumumkan oleh panel hakim yang diketuai Hakim Fahzal Hendri dalam satu sesi mahkamah pada 15 Oktober.

Gazalba juga dikenakan denda 500 juta rupiah ($42,047) atau hukuman penjara tambahan empat bulan jika dia gagal membayar denda tersebut.

Walaupun hukuman itu dilihat berat, ia lebih ringan daripada tuntutan pendakwa yang memohon hukuman penjara 15 tahun dan denda 1 bilion rupiah.

Pendakwa juga meminta Gazalba membayar pampasan 1.5 bilion rupiah dan AS$18,000 ($23,557), tetapi permintaan itu ditolak kerana mahkamah menyatakan tiada kerugian negara yang terlibat.

Kes rasuah itu melibatkan ahli perniagaan, Jawahirul Fuad, memberi sogokan kepada Gazalba untuk mendapatkan keputusan yang memihak kepadanya, dalam kes melibatkan syarikatnya, yang didakwa membuang sisa berbahaya secara haram.

Dalam kes itu, seorang peguam yang juga kawan Gazalba, Ahmad Riyad, turut terlibat.

Ahmad menerima 650 juta rupiah daripada Jawahirul dan 500 juta rupiah daripada wang itu diserahkan kepada Gazalba sebagai sogokan.

Mahkamah juga mendedahkan bahawa wang haram yang Gazalba terima digunakan untuk membeli jongkong emas, rumah mewah, dan kereta.

Malah, dia menggunakan identiti orang lain untuk membuat pembelian tersebut.

Wang yang diterima itu turut ditukar daripada mata wang asing, termasuk dolar Singapura dan Amerika Syarikat, kepada rupiah berjumlah hampir empat bilion rupiah.

Dalam perbicaraan itu, Gazalba pernah mengendalikan kes lain melibatkan bekas anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Samarinda, Jaffar Abdul Gafar.

Peguam Jaffar didakwa membayar wang dalam jumlah yang besar untuk mempengaruhi keputusan mahkamah yang dikendalikan oleh Gazalba.

Setelah keputusan diumumkan, Gazalba berkata beliau akan mengemukakan rayuan.

Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) pula menyatakan ia masih mempertimbangkan sama ada akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg