Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hakim Mahkamah Agung Indonesia ditangkap semula atas tuduhan rasuah baru

Dec 4, 2023 | 1:14 PM
BERDEPAN TUDUHAN BARU: Hakim Mahkamah Agung, Gazalba Saleh, dihadapkan sebagai suspek rasuah dalam sidang akhbar di bangunan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) di Jakarta.
BERDEPAN TUDUHAN BARU: Hakim Mahkamah Agung, Gazalba Saleh, dihadapkan sebagai suspek rasuah dalam sidang akhbar di bangunan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) di Jakarta. - Foto fail

JAKARTA: Hakim Mahkamah Agung yang telah dibebaskan daripada tuduhan rasuah, ditahan buat kali kedua oleh Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) pada 30 November, di bawah pertuduhan rasuah baru.

Gazalba Saleh dituduh menerima rasuah sebagai pertukaran untuk keputusan yang menguntungkan bagi banduan rasuah yang merayu ke Mahkamah Agung.

Salah seorang banduan ialah bekas Menteri Ehwal Maritim, Edhy Prabowo, yang hukuman penjaranya telah dikurangkan dari sembilan tahun kepada lima tahun, selepas perbicaraan rayuannya di Mahkamah Agung.

“Dalam perbicaraan di mana Gazalba menjadi sebahagian daripada panel, keputusan telah disyaratkan untuk menampung kepentingan banduan rasuah yang memohon rayuan di Mahkamah Agung,” kata Pengarah Siasatan KPK, Encik Asep Guntur, dalam sidang akhbar di Jakarta, yang mengenal pasti Gazalba hanya dengan menyebut inisial GS.

Ketika mengendalikan rayuan bekas menteri itu Mac lalu, panel Mahkamah Agung diketuai oleh Hakim Sofyan Sitompul, dengan Gazalba dan Hakim Sinintha Yuliansih Sibarani menjadi ahli.

Edhy, yang telah dipenjarakan sejak November 2020, dibebaskan secara parol pada 18 Ogos.

“Suspek telah menerima bayaran sebagai pertukaran untuk keputusan, baik yang dikeluarkan untuk beberapa defendan termasuk Edhy Prabowo, Rennier Abdul Rahman Latif … dan Jaffar Abdul Gaffar,” kata Encik Asep, dipetik akhbar, Jakarta Globe.

“Dalam siasatan awal kami, kami telah menemui bukti menunjukkan pemindahan wang bernilai sekitar 15 bilion rupiah ($964,800) kepada suspek, antara 2018 dengan 2022,” tambahnya.

Gazalba dilantik sebagai hakim Mahkamah Agung pada 2017 dan sejak itu telah mengendalikan banyak kes rasuah berprofil tinggi.

Dia ditahan oleh KPK pada Disember 2022 kerana didakwa mengambil rasuah dalam mengendalikan saman muflis terhadap seorang pemberi pinjaman kecil di Jawa Tengah.

Penahanannya dibuat lebih dua bulan selepas rakan Hakim Mahkamah Agung, Sudrajad Dimyati, dinamakan sebagai suspek rasuah bagi kes yang sama.

Menurut KPK, Gazalba dijanjikan $202,000 wang Singapura, oleh ahli perniagaan yang memohon keputusan muflis terhadap koperasi pembiayaan Intidana. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg