Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Ratu Denmark Margrethe II umum turun takhta setelah berkhidmat 52 tahun

Jan 01, 2024 | 03:46 PM



COPENHAGEN: Ratu Denmark Margrethe II, monarki paling lama di Eropah, akan turun takhta pada 14 Januari 2024, selepas 52 tahun memerintah negara itu.


Ini memberi laluan kepada putera sulungnya, Putera Mahkota Frederik, untuk menggantikannya dan naik takhta pula.

Ratu Margrethe II yang berusia 83 tahun membuat pengumuman mengejut itu ketika menyampaikan perutusan tahun baru 2024, yang disiarkan secara langsung di televisyen, kepada 5.9 juta rakyat Denmark pada 31 Disember 2023.

Bercakap tentang pembedahan di bahagian belakangnya pada Februari 2023, beliau berkata:

“Pembedahan itu secara semula jadi membuat saya berfikir tentang masa akan datang - sama ada sudah tiba masanya untuk menyerahkan tanggungjawab kepada generasi akan datang.

“Saya telah memutuskan bahawa sekarang adalah masa yang tepat. Pada 14 Januari 2024 – 52 tahun selepas saya menggantikan ayahanda tercinta untuk menaiki takhta – saya akan berundur sebagai Ratu Denmark.

“Saya menyerahkan takhta kepada anak saya, Putera Mahkota Frederik.”

Ratu Margrethe II menjadi monarki paling lama di Eropah berikutan kematian Ratu Elizabeth II Britain pada September 2022.

Pada Julai 2023, beliau juga menjadi monarki paling lama dalam sejarah Denmark.

Di Denmark, kuasa rasmi terletak pada Parlimen yang dipilih dan kerajaan.


Monarki negara itu tidak terlibat dengan parti politik dan mewakili negara dengan tugas tradisional seperti lawatan negara hingga sambutan hari kebangsaan.


Perdana Menteri Denmark, Cik Mette Frederiksen, mengucapkan terima kasih kepada Ratu Margrethe II atas dedikasi kepada tugas sepanjang hayatnya.

“Masih sukar menerima bahawa masanya sudah tiba bagi peralihan takhta,” kata Cik Frederiksen dalam satu kenyataan.

Dilahirkan pada tahun 1940 kepada Raja Frederik IX dan Ratu Ingrid, Ratu Margrethe II menikmati sokongan luas daripada rakyat Denmark sepanjang kepimpinannya, dengan rakyat kagum akan personalitinya yang bijak dan kreatif.


Beliau juga dikenali bagi cintanya terhadap arkeologi dan telah mengambil bahagian dalam beberapa ekspedisi penggalian.


Ratu Margrethe II menjadi pewaris bapanya pada tahun 1953 pada usia 31 tahun, selepas pindaan perlembagaan membenarkan wanita mewarisi takhta.

Pada 1967, beliau berkahwin dengan diplomat Perancis Henri de Laborde de Monpezat, yang berkhidmat sebagai pendamping diraja hingga kematiannya pada 2018.

Dua anak lelaki pasangan itu ialah Putera Mahkota Frederik, yang akan menjadi Raja Frederik X, dan Putera Joachim. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >