Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERANG DI UKRAINE

Ratusan penduduk dipindah, Presiden Ukraine minta bantuan PBB

May 06, 2022 | 05:30 AM



KYIV: Lebih 300 penduduk Ukraine telah dipindahkan dari bandar Mariupol yang rosak teruk kelmarin sedang presiden negara itu, Encik Volodymyr Zelensky, meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantu menyelamatkan ramai lagi mangsa yang cedera serta terperangkap di loji keluli gergasi Azovstal di bandar itu.



Bercakap kepada negara itu dalam ucapan hariannya, Encik Zelensky berkata 344 orang telah dipindahkan dari Mariupol dan kawasan berhampiran, menuju ke arah barat laut ke bandar Zaporizhzhia, yang dikuasai Kyiv.



Sebelum itu, beliau juga merayu kepada Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, untuk membantu menyelamatkan mangsa yang cedera dan berlindung di loji itu.



"Nyawa orang yang tinggal di sana dalam bahaya," kata Encik Zelensky kepada Encik Guterres melalui telefon.



Dalam satu kenyataan, Palang Merah menyatakan ia "lega bahawa lebih banyak nyawa telah dapat diselamatkan" dan menggesa usaha diperbaharui untuk meneruskan pemindahan dari wilayah itu "berdasarkan penderitaan besar orang awam".



Moscow, yang menafikan berlakunya serangan ke atas loji itu, berkata pasukannya akan menghentikan serangan ke atas loji itu untuk membuka koridor kemanusiaan buat orang awam selama tiga hari mulai semalam.



"Angkatan bersenjata Russia akan dari 8 pagi hingga 6 petang pada 5, 6 dan 7 Mei membuka koridor kemanusiaan dari kawasan loji Azovstal untuk memindahkan orang awam," kata kementerian pertahanan Russia kelmarin.



Orang awam yang berlindung di loji itu akan dibenarkan pergi ke Russia atau wilayah yang dikuasai Kyiv, tambah kenyataan itu.



Dalam perbualannya dengan Encik Guterres, Encik Zelensky berkata pemindahan pada minggu ini menunjukkan kepada dunia "bahawa pertubuhan antarabangsa boleh menjadi berkesan".



Beliau "menyatakan harapan bagi kejayaan untuk meneruskan operasi pemindahan".



Sementara itu, tentera Russia dilaporkan terus menggempur loji Azovstal untuk mengawal kubu terakhir di bandar Mariupol, kata pegawai Ukraine, sedang Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan sekatan baru yang keras terhadap Moscow termasuk menghentikan pembelian minyak Russia secara berperingkat.



Selepas gagal menawan ibu kota Kyiv pada beberapa minggu awal serangan yang telah membunuh ribuan orang dan memusnahkan beberapa bandar, Russia telah memperhebatkan serangan ke atas kawasan selatan dan timur Ukraine, di mana pelabuhan Mariupol menjadi sasaran utamanya.



Russia mengisytiharkan kemenangan ke atas Mariupol pada 21 April lalu selepas beberapa minggu pengepungan dan serangan.



Bandar itu adalah kunci kepada usaha Moscow untuk memotong akses Ukraine dari Laut Hitam - kawasan laut penting untuk eksport bijirin dan logam - dan menghubungkan wilayah yang dikuasai Russia di selatan dan timur.



Pejuang Ukraine di dalam loji Azovstal sedang berjuang "pertempuran yang sukar dan berdarah" menentang tentera Russia, kata Encik Denis Prokopenko, komander rejimen Azov Ukraine.



Seorang anggota parlimen Ukraine berkata tentera Russia telah berada di dalam kawasan loji itu.



Meningkatkan tekanan ke atas ekonomi Russia yang sudah merudum, EU telah mencadangkan larangan import minyak mentah Russia secara berperingkat dalam tempoh enam bulan dan produk lain menjelang akhir tahun ini.



"(Presiden Vladimir) Putin mesti membayar harga, harga yang tinggi, bagi pencerobohan kejamnya," kata ketua Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, yang mendapat tepukan anggota parlimen EU di Strasbourg.



Rancangan itu, jika dipersetujui oleh semua 27 pemerintah EU, akan mengikuti larangan minyak Amerika Syarikat dan Britain dan menjadi titik permulaan bagi blok perdagangan terbesar dunia itu, yang bergantung kepada tenaga Russia dan mesti mencari bekalan alternatif. - AFP, Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >