Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ratusan ribu larikan diri ketika Israel rampas Rafah di Gaza

Apr 4, 2025 | 12:08 PM
Penduduk Palestin terpaksa melarikan diri dari Rafah ke Khan Younis di selatan Gaza pada 2 April apabila tentera Israel melancarkan serangan bagi merampas bumi Rafah, sebahagian dari zon keselamatan barunya di Gaza.
Penduduk Palestin terpaksa melarikan diri dari Rafah ke Khan Younis di selatan Gaza pada 2 April apabila tentera Israel melancarkan serangan bagi merampas bumi Rafah, sebahagian dari zon keselamatan barunya di Gaza. - Foto AFP

GAZA: Beratus-ratus ribu penduduk Gaza terpaksa melarikan diri bagi mencari perlindungan pada 2 April ketika tentera Israel mara ke runtuhan bandar Rafah, yang mereka umumkan sebagai sebahagian daripada “zon keselamatan” barunya.

Sehari selepas mengisytiharkan hasrat mereka untuk menawan sebahagian besar kawasan yang sesak itu, tentera Israel menggempur bandar di pinggir selatan Gaza.

Ia telah menjadi tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang melarikan diri dari kawasan lain dalam perang sebelum ini.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 97 orang terbunuh dalam serangan Israel dalam tempoh 24 jam, termasuk sekurang-kurangnya 20 terbunuh dalam serangan udara sekitar subuh di pinggir bandar Shejaia di Bandar Gaza.

Rafah “telah hilang, ia sedang dihapuskan,” kata seorang ayah tujuh anak yang merupakan antara ratusan ribu yang melarikan diri dari Rafah ke Khan Younis akibat tindakan tentera Israel itu.

“Mereka merobohkan rumah dan harta benda yang tinggal,” kata lelaki yang enggan dikenali kerana bimbang akan kesannya.

Selepas serangan yang turut membunuh beberapa orang di Khan Younis, Encik Adel Abu Fakher, dilihat sedang memeriksa kerosakan khemahnya.

“Tiada apa-apa lagi yang tinggal untuk kami. Kami dibunuh semasa tidur,” katanya.

Serangan untuk menawan Rafah ialah peningkatan besar dalam perang, yang dimulakan semula Israel selepas gencatan senjata yang bermula sejak Januari, berakhir pada Mac.

Israel tidak menyatakan matlamat jangka panjangnya untuk zon keselamatan yang kini direbut oleh tenteranya.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanayahu, berkata tenteranya sedang mengambil kawasan yang dipanggilnya “Morag Axis”, merujuk kepada bekas petempatan terbiar Israel yang pernah terletak di antara Rafah dengan bandar utama selatan Khan Younis yang bersebelahan.

Penduduk Gaza yang telah kembali ke rumah mereka yang musnah semasa gencatan senjata, kini telah diarahkan supaya berpindah ke kawasan lain di Gaza.

Mereka bimbang niat Israel adalah untuk mengurangkan penduduk kawasan itu selama-lamanya, menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal secara kekal di salah satu wilayah termiskin dan paling sesak di bumi.

Zon keselamatan termasuk beberapa tanah pertanian terakhir Gaza dan prasarana air kritikal.

Sejak fasa pertama gencatan senjata tamat pada awal Mac tanpa persetujuan untuk melanjutkannya, Israel telah mengenakan sekatan penuh ke atas semua barangan daripada memasuki Gaza yang mempunyai 2.3 juta penduduk Gaza. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg