BAITULMAKDIS: Israel merancang meluaskan serangan daratnya dan menduduki 25 peratus daripada Jaluran Gaza yang dikepung dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.
Demikian dinyatakan oleh seorang pegawai kanan Israel kepada pemberita pada 31 Mac.
Pegawai kanan itu berkata ia adalah sebahagian daripada kempen “tekanan maksimum” yang bertujuan memaksa Hamas membebaskan baki tebusan yang masih ditahan di Gaza, lapor laman berita Amerika, Axios.
Pegawai itu selanjutnya berkata bahawa tentera Israel turut merancang meluaskan zon penampan yang dikawal oleh tentera Israel.
Komen daripada pegawai itu melangkaui dakwaan awal Israel untuk mewajarkan perangnya ke atas Gaza, yang bertujuan menghapuskan Hamas dan membebaskan tebusannya.
Laporan berkenaan menyatakan langkah yang dirancang itu boleh dijadikan sebagai alasan untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza.
Ini berlaku selepas rakyat Palestin mula pulang ke rumah mereka semasa perjanjian gencatan senjata yang kini runtuh.
“Sesetengah pegawai Israel berkata pendudukan semula adalah satu langkah ke arah melaksanakan rancangan pemerintah untuk mendorong rakyat Palestin ‘meninggalkan secara sukarela’ dari Gaza dan bagi mengalahkan Hamas,” lapor Axios.
Aktivis dan pejuang hak asasi manusia telah lama berkata desakan Israel itu sebenarnya bagi menutup usahanya yang lebih jahat untuk mengusir warga Palestin dari Gaza, tanpa hak untuk kembali.
Ini bertepatan dengan perintah pemindahan paksa berterusan daripada tentera Israel, yang memberitahu rakyat Palestin supaya meninggalkan kawasan yang mereka tinggal dengan berjalan kaki dan tanpa sebarang pemberitahuan.
“Angkatan Tentera Israel kembali melakukan operasi sengit untuk merungkai keupayaan Hamas di kawasan mereka.
“Demi keselamatan anda, bergerak segera ke tempat perlindungan di al-Mawasi,” kata jurucakap bahasa Arab tentera Israel menerusi X pada 31 Mac.
Kawasan lain yang menerima perintah pemindahan termasuk Khan Younis, al-Mawasi, Rafah, Tal al-Zataar dan Beit Hanoun.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 17 Mac, dengan sekurang-kurangnya 1,000 rakyat Palestin terbunuh sejak itu.
Perang yang tercetus pada 7 Oktober 2023 telah mengorbankan sekitar 61,700 rakyat Palestin, kata Kementerian Kesihatan Gaza. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg