TEHERAN: Kematian pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, dalam serangan tentera Israel telah mencetuskan pelbagai reaksi di seluruh dunia, termasuk dalam kalangan pemimpin antarabangsa, keluarga tahanan Israel serta masyarakat dunia Arab dan Iran.
Kejadian itu turut menarik perhatian besar di media sosial, mencetuskan pandangan yang bercampur baur – daripada pujian hingga kekecewaan – dan dianggap sebagai langkah penting dalam konflik yang semakin memuncak di Gaza.
Dalam kalangan masyarakat Arab, terutamanya penyokong Hamas, kematian Encik Sinwar dilihat sebagai pengorbanan yang dihormati.
Beliau digambarkan sebagai pemimpin yang tidak gentar berdepan dengan musuh dan memilih untuk berjuang bersama tenteranya di medan perang.
Seorang pengguna Twitter, Nawras, menulis: “Yahya Sinwar mati di medan perang, bukan di terowong.”
Wartawan Algeria terkenal, Encik Hafid Derradji, yang mempunyai berjuta-juta pengikut di media sosial, turut menyampaikan takziah, dan berkata:
“Jika benar Yahya Sinwar telah mati, maka beliau telah mencapai kemuliaan. Namun, perjuangan menentang penindasan tidak akan berakhir dengan kematian seorang pemimpin.”
Kebanyakan komen dalam kalangan netizen Arab menekankan bahawa kematian Encik Sinwar tidak akan menghentikan perjuangan rakyat Palestin.
Malah, ramai yang menyifatkannya sebagai ‘pahlawan’ yang telah mengorbankan nyawanya demi agama dan tanah air.
Iran, sebagai sekutu kuat Hamas, turut mengeluarkan kenyataan rasmi memuji Encik Sinwar sebagai simbol keberanian.
Wakil Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa Encik Sinwar akan terus dikenang sebagai pejuang inspirasi generasi muda Palestin.
Kenyataan tersebut berbunyi: “Yahya Sinwar adalah lambang perlawanan yang tidak akan pernah mati. Semangatnya akan terus hidup di hati mereka yang berjuang untuk kebebasan Palestin.”
Pemimpin Iran menegaskan bahawa kematian Sinwar hanya akan memperkuat tekad penentangan terhadap Israel, sambil menambah bahawa “selagi kezaliman dan penjajahan berterusan, semangat perjuangan akan tetap ada”.
Negara-negara Teluk memberikan respons yang lebih berhati-hati terhadap kematian Encik Sinwar.
Di Arab Saudi, reaksi bercampur baur boleh dilihat di media sosial.
Sesetengah pengguna menyatakan bahawa kematian Encik Sinwar adalah satu kemusnahan bagi Hamas, yang dianggap telah merosakkan kestabilan rantau ini.
Seorang pengguna Twitter dari Arab Saudi menulis: “Hari ini, dunia Arab boleh menarik nafas lega dengan kematian Encik Sinwar, seorang pemimpin yang hanya membawa lebih banyak konflik dan penderitaan.”
Keluarga tahanan Israel yang dipercayai masih berada di Gaza menyambut kematian Encik Sinwar dengan perasaan lega, menganggapnya sebagai peluang mempercepatkan pembebasan orang-orang yang diculik.
Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang Israel menyebut pembunuhan Sinwar sebagai “langkah penting” yang perlu dimanfaatkan bagi mempercepat proses pembebasan tebusan.
Mereka berharap kematian Encik Sinwar akan melemahkan kedudukan Hamas dalam rundingan pembebasan tebusan dan membuka jalan untuk penyelesaian diplomatik yang lebih cepat.
Reaksi daripada pemimpin antarabangsa, terutama dari Barat, mencerminkan sokongan mereka terhadap tindakan Israel.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, mengucapkan tahniah kepada Israel atas operasi itu dan menyifatkan kematian Encik Sinwar sebagai titik perubahan yang penting.
Beliau menegaskan bahawa kematian Encik Sinwar membuka peluang membentuk masa depan Gaza tanpa pengaruh Hamas.
Encik Biden turut merancang untuk berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengenai langkah seterusnya bagi membawa pulang tebusan serta mengakhiri konflik.
Negara Eropah seperti Perancis dan Jerman turut menyambut baik kematian Encik Sinwar.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menyatakan bahawa pemimpin Hamas tersebut bertanggungjawab atas serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, manakala Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni, menyebut bahawa kematiannya menandakan langkah positif ke arah pembebasan tebusan dan pengisytiharan gencatan senjata. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg