Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Hamas berupaya bangkit daripada abu’

Oct 8, 2024 | 1:13 PM
Mantan ketua Hamas, Encik Khaled Meshaal, yang diwawancara oleh agensi berita, Reuters, berkata kumpulannya masih berupaya melancarkan serangan terhadap tentera Israel.
Mantan ketua Hamas, Encik Khaled Meshaal, yang diwawancara oleh agensi berita, Reuters, berkata kumpulannya masih berupaya melancarkan serangan terhadap tentera Israel. - Foto REUTERS

DOHA: Pemimpin Hamas dalam buangan, Encik Khaled Meshaal. berkata kumpulannya akan bangkit seperti burung phoenix daripada abu walaupun kalah besar dalam perang dengan Israel selama setahun, dan ia akan terus merekrut anggota dan mengeluarkan senjata.

Setahun selepas serangan Hamas yang mencetuskan perang, Encik Meshaal berpandangan konflik dengan Israel sebagai sebahagian daripada naratif yang lebih luas menjangkau 76 tahun.

Menurutnya, ia bermula sejak apa yang disifatkan oleh rakyat Palestin sebagai ‘Nakba’ atau ‘malapetaka”’ apabila ramai yang hilang tempat tinggal semasa perang 1948 yang mengiringi pembentukan negara Israel.

“Sejarah Palestin dibuat daripada kitaran,” kata Encik Meshaal, 68 tahun, seorang tokoh kanan Hamas di bawah pimpinan Encik Yahya Sinwar, dalam satu sesi temu bual dengan Reuters.

“Kami melalui fasa yang menyaksikan kami kehilangan anggota dan keupayaan ketenteraan kami, tetapi semangat Palestin bangkit semula, seperti burung phoenix,” ujar beliau.

Encik Meshaal terselamat daripada percubaan Israel membunuhnya dalam 1997 selepas beliau disuntik racun.

Beliau yang menerajui Hamas dari 1996 hingga 2017, berkata kumpulannya masih mampu melancarkan serangan terhadap tentera Israel.

Hamas turut melancarkan empat peluru berpandu pada pagi 7 Oktober, setahun setelah serangan Hamas ke atas selatan Israel yang mencetuskan perang. Semua peluru berpandu itu dipintas tentera Israel.

“Kami kehilangan sebahagian daripada peluru dan senjata kami, tetapi Hamas masih merekrut lelaki muda dan terus mengeluarkan sebahagian besar peluru dan senjata,” kata Encik Meshaal, yang dikatakan masih kekal berpengaruh dalam Hamas.

Komen beliau kelihatan bertujuan memberi isyarat bahawa kumpulan itu akan berjuang atas kekalahannya, kata penganalisis Timur Tengah.

“Secara keseluruhannya saya akan katakan (Hamas) masih hidup dan tidak bergerak dan... mungkin akan kembali pada satu ketika di Gaza,” kata Pengarah Program Timur Tengah dan Afrika Utara bagi Kumpulan Krisis Antarabangsa, Encik Joost R. Hiltermann.

Beliau berkata Israel tidak menyatakan rancangan selepas perang Gaza dan ini membolehkan Hamas bangkit semula tetapi mungkin tidak sekuat atau dalam bentuk yang sama. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg