Topik diikuti
Pergi ke BHkuRemaja 14 tahun tembak mati tujuh di sekolah Thailand sebelum bunuh diri
Remaja bunuh datuk, nenek sebelum serang sekolah, lepaskan 26 das tembakan
BANGKOK: Seorang remaja berusia 14 tahun menembak mati tujuh orang di sebuah sekolah di pinggir Bangkok pada 7 Ogos sebelum menembak dirinya sendiri, dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai paling buruk di Thailand sejak 2022.
Polis berkata remaja itu dipercayai terlebih dahulu menembak mati datuk dan neneknya sebelum menuju ke Sekolah Debsirin Nonthaburi, di pinggir barat laut Bangkok, dan melepaskan tembakan terhadap mangsa di situ.
Jurucakap Polis Nasional Thailand, Encik Trirong Phophan, berkata sekurang-kurangnya 22 orang turut cedera dalam serangan tersebut.
Menteri Pendidikan, Encik Prasert Jantararuangtong, berkata guru dan pelajar adalah antara mereka yang terbunuh.
Menurut polis, remaja itu melepaskan sekurang-kurangnya 26 das tembakan dan masih mempunyai 34 butir peluru ketika ditemukan.
Senjata api yang digunakan dalam serangan itu adalah milik datuknya.
Bangkok Post melaporkan remaja berkenaan merupakan pelajar gred lapan di sekolah tersebut.
Seorang pelajar berusia 18 tahun memberitahu Reuters bahawa beliau pada mulanya menyangka bunyi tembakan itu adalah bunyi mercun atau seseorang sedang mengetuk sesuatu.
“Saya pada mulanya tidak menyangka ia bunyi tembakan.”
“Terdapat banyak tembakan... bang, bang, bang. Kemudian ia senyap. Selepas itu, tembakan bermula semula,” katanya.
Suasana cemas menyelubungi sekolah berkenaan selepas kejadian, dengan pelajar dilihat bergegas keluar dari kawasan sekolah, manakala mangsa yang cedera dibawa ke ambulans.
Guru pula dilihat saling berpelukan dan menangis ketika pasukan kecemasan merawat mangsa.
Seorang petugas kecemasan, Encik Kiatikhun Verapongpradith, 47 tahun, berkata beliau dan pasukannya tiba ketika tembakan masih berlaku.
Mereka merawat beberapa pelajar yang mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan, dada dan lengan.
Pasukan itu turut menemukan seorang guru lelaki yang sudah meninggal dunia di tingkat atas bangunan sekolah.
Di sebuah bilik lain, mereka menemukan seorang guru wanita yang mengalami kecederaan pada dada dan lengan.
“Kami melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama kira-kira 30 minit dan membawanya segera ke hospital kerana kami tidak dapat memulihkan degupan jantungnya, tetapi kami sudah mencuba sedaya upaya,” katanya.
Encik Kiatikhun berkata pasukannya kemudian mendengar satu das tembakan terakhir sebelum diarahkan memberikan rawatan kepada penyerang.
“Kami bergegas ke atas dan mendapati pelaku telah menembak dirinya pada bahagian kanan kepala dan rebah.
“Apabila kami tiba, kami memeriksa nadinya dan masih ada denyutan, jadi kami memulakan CPR,” katanya.
Remaja itu kemudian dibawa ke hospital tetapi dilaporkan meninggal dunia.
Sekolah Debsirin Nonthaburi mempunyai kira-kira 3,100 pelajar dan 147 guru pada tahun akademik 2025, menurut pihak berkuasa daerah.
Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian tersebut.
“Amat mengerikan perkara seperti ini berlaku,” katanya kepada wartawan.
“Saya sedih terhadap mereka yang terkorban dan sedih kejadian seperti ini berlaku di negara kita.”
Serangan terbaru itu merupakan kejadian tembakan kedua di sebuah sekolah di Thailand pada 2026.
Pada Februari, seorang guru terbunuh dan seorang pelajar cedera dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah di selatan Thailand.
Thailand mempunyai sejarah beberapa kejadian tembakan beramai-ramai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2022, seorang bekas anggota polis membunuh 36 orang dalam serangan menggunakan senjata api dan pisau selama kira-kira tiga jam di timur laut Thailand.
Mangsa termasuk 22 kanak-kanak yang dibunuh ketika sedang tidur di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.
Dua tahun sebelum itu, seorang askar membunuh 29 orang dalam serangan di Nakhon Ratchasima pada 2020.
Pada 2023, seorang remaja berusia 14 tahun menggunakan pistol yang diubah suai untuk membunuh dua orang dan mencederakan lima yang lain di pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok.
Pada Julai 2025 pula, seorang lelaki bersenjata membunuh lima orang, termasuk pengawal keselamatan dan seorang peniaga, di sebuah pasar di Bangkok sebelum membunuh diri.
Selepas kejadian Siam Paragon pada 2023, Encik Anutin, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, mengarahkan beberapa langkah memperketat kawalan senjata.
Antaranya termasuk menghentikan sementara pengeluaran lesen senjata api baru, mengetatkan sekatan import dan melarang individu berusia bawah 20 tahun menggunakan lapang sasar.
Langkah jangka panjang turut merangkumi keperluan sijil perubatan bagi menilai keadaan mental dan psikologi pemilik senjata serta menetapkan tempoh sah bagi sesetengah lesen.
Menurut anggaran Small Arms Survey pada 2017, kira-kira 10.3 juta senjata api berada dalam pemilikan orang awam di Thailand, bersamaan sekitar 15 senjata bagi setiap 100 penduduk – kadar tertinggi di Asia Tenggara. – Agensi berita.
