BANGKOK: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan seorang lagi cedera dalam kejadian tembakan di pasar makanan segar yang popular berhampiran bazar Chatuchak yang terkenal di Bangkok pada 28 Julai, kata polis.
“Polis sedang menyiasat identiti individu itu dan motif kejadian,” kata polis Thailand dalam satu kenyataan.
Lima orang yang terbunuh oleh lelaki bersenjata itu merupakan pegawai keselamatan di Pasar Or Tor Kor, katanya.
Jumlah kematian tersebut termasuk lelaki bersenjata itu, yang membunuh dirinya sendiri, kata Timbalan Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Encik Charin Gopatta, kepada agensi berita Reuters.
“Polis sedang menyiasat motifnya. Setakat ini, ia adalah kejadian tembakan beramai-ramai,” kata Encik Worapat Sukthai, timbalan ketua polis daerah Bang Sue Bangkok, di mana kejadian itu berlaku, kepada agensi berita AFP.
Beliau berkata suspek membunuh dirinya sendiri selepas kejadian tembakan itu dan polis sedang berusaha mengenal pasti identitinya, serta menyiasat “untuk sebarang kemungkinan kaitan” dengan pertempuran sempadan yang kini sedang berlaku antara Thailand dengan Kemboja.
Tiada pelancong terbunuh atau cedera dalam insiden tembakan itu, kata Encik Sanong Saengmani, seorang pegawai polis di daerah Bang Sue Bangkok, di mana terletaknya Pasar Or Tor Kor.
Pelancongan merupakan pemacu ekonomi utama di Thailand – ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara – di mana pertumbuhan adalah lembap dan insiden sedemikian berpotensi melemahkan sentimen.
Pasar Or Tor Kor, tempat serangan berlaku, menjual hasil pertanian dan makanan tempatan.
Ia terletak tidak jauh dari pasar Chatuchak, sebuah destinasi pelancongan utama di Bangkok yang dipenuhi pengunjung setiap hujung minggu.
Dalam rakaman video yang dikongsi polis, seorang suspek bertopi putih dan beg galas yang disangkut di dadanya dilihat berjalan melalui tempat letak kereta di pasar itu.
Kejadian tembakan beramai-ramai sering berlaku di Thailand, di mana senjata api boleh diperoleh dengan agak mudah disebabkan penguatkuasaan kawalan senjata yang lemah.
Pada Oktober 2023, seorang suspek berusia 14 tahun menggunakan pistol yang diubah suai untuk membunuh dua orang dan mencederakan lima yang lain di sebuah pusat beli-belah mewah di kawasan tengah Bangkok.
Pada 2022, seorang bekas pegawai polis membunuh 36 orang, termasuk 22 kanak-kanak, dalam serangan yang melibatkan senjata api dan pisau di sebuah taska di timur Thailand. – AFP, Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg