Topik diikuti
Pergi ke BHkuRemaja 17 tahun didakwa bunuh, bantu siar langsung serangan masjid di San Diego
NORTH CAROLINA: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun didakwa atas tuduhan membunuh selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat menuduhnya membantu dua penyerang merancang untuk merakam, menyiarkan secara langsung dan menyebarkan serangan di sebuah masjid di San Diego yang mengorbankan tiga orang pada Mei lalu.
Sarah Santiago dari Forsyth County, North Carolina, ditahan minggu lalu sebelum juri agung pada 31 Ogos mendakwanya atas tiga tuduhan membantu dan bersubahat melakukan pembunuhan serta satu tuduhan berkomplot.
Pendakwa Raya Daerah Forsyth County, Encik Jim O’Neill, berkata walaupun Sarah berada ratusan kilometer dari tempat kejadian dan tidak melepaskan tembakan, undang-undang North Carolina membolehkan seseorang didapati bersalah melakukan pembunuhan jika terbukti membantu menjayakan rancangan tersebut.
Serangan pada 18 Mei itu dilakukan Cain Clark, 17 tahun, dan Caleb Velasquez, 18 tahun, di Pusat Islam San Diego.
Mereka menembak mati tiga anggota masyarakat Islam, Amir Abdullah, Mansour Kaziha dan Nadir Awad.
Ketiga-tiga mangsa dipercayai cuba menghalang penyerang daripada memasuki lebih jauh ke dalam masjid, sekali gus membantu melindungi kira-kira 140 kanak-kanak yang berada di dalam bangunan ketika serangan berlaku.
Clark dan Velasquez kemudian ditemui mati di dalam sebuah kenderaan berhampiran masjid.
Pihak berkuasa turut menemukan tulisan berunsur anti-Islam di dalam kenderaan tersebut.
Serangan itu disiasat sebagai jenayah kebencian dan mencetuskan kebimbangan mengenai ancaman Islamofobia di Amerika Syarikat.
Menurut pendakwa raya, Sarah mengenali kedua-dua penyerang menerusi komunikasi dalam talian dan mereka tidak pernah bertemu secara bersemuka.
Ketiga-tiganya dipercayai berkomunikasi menerusi sebuah wadah dalam talian yang disifatkan Encik O’Neill sebagai “ruang gema kebencian”, tempat pandangan ekstrem mereka saling diperkuatkan.
Pendakwa raya mendakwa rancangan mereka bukan sekadar melakukan serangan, malah memastikan keganasan itu dirakam dan disebarkan kepada khalayak luas.
Clark dan Velasquez memakai kamera GoPro pada topi keledar ketika melakukan serangan, manakala Sarah didakwa membantu mengendalikan siaran langsung dari Winston-Salem, North Carolina, serta menyebarkan rakaman dan tulisan kedua-dua penyerang.
Menurut pertuduhan, Sarah juga didakwa membeli dan menghantar kepada seorang daripada penyerang satu tampalan yang memaparkan simbol ketuanan kulit putih.
Tampalan itu dipercayai dipakai ketika serangan dilakukan.
Encik O’Neill berkata matlamat kedua-dua penyerang adalah supaya tindakan ganas mereka dirakam dan disebarkan agar mereka dikenang serta mendapat perhatian selepas kematian.
“Dia bersama kumpulan itu – dia turut terlibat dalam pembunuhan tersebut,” katanya ketika menjelaskan keputusan untuk mendakwa Sarah.
Menurut beliau, pihak berkuasa memutuskan untuk menahan remaja itu sebelum dia kembali ke sekolah bagi tahun persekolahan baharu kerana bimbang mengenai risiko keselamatan.
Pendakwa raya berkata tindakan Sarah didakwa membantu merealisasikan sebahagian penting rancangan penyerang, iaitu memastikan serangan dan kemusnahan yang dilakukan dapat dirakam, disiarkan secara langsung dan disebarkan kepada orang ramai.
Ketua Polis San Diego, Encik Scott Wahl, berkata penahanan itu merupakan perkembangan penting dalam usaha mendapatkan keadilan bagi tiga mangsa yang terbunuh.
“Sejak kejadian mengerikan ini berlaku, pasukan kami bekerja bersungguh-sungguh bersama FBI untuk memastikan tiada satu pun petunjuk diabaikan,” katanya.
Beliau berkata pihak berkuasa akan terus menyiasat sesiapa sahaja yang mungkin memainkan peranan dalam serangan tersebut.
Siasatan besar-besaran itu melibatkan lebih 100 temu bual, lebih 30 waran geledah dan penelitian terhadap lebih empat juta mesej, menurut Ejen Khas FBI San Diego, Encik Mark Remily.
Menurut beliau, pendakwaan itu turut membawa mesej bahawa seseorang tidak terlepas daripada tanggungjawab hanya kerana berada jauh dari tempat serangan.
“Jarak fizikal daripada sesuatu serangan tidak bermakna seseorang terlepas daripada pertanggungjawaban atas peranan yang didakwa dimainkannya dalam membantu serangan itu berlaku,” katanya.
Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) pula menyifatkan pendakwaan itu sebagai langkah penting untuk memastikan mereka yang disyaki membantu atau menyokong serangan berkenaan dipertanggungjawabkan.
Pertubuhan itu berkata tiga mangsa yang terkorban cuba menghentikan penyerang dan tindakan mereka membantu menyelamatkan kanak-kanak di dalam masjid.
Kes itu berlaku ketika kebimbangan mengenai sentimen anti-Islam di Amerika Syarikat terus meningkat.
CAIR berkata ia merekodkan 17 insiden menyasarkan masjid dan pusat Islam di seluruh negara antara Mei dengan Julai, meningkat 183 peratus berbanding tempoh tiga bulan yang sama tahun sebelumnya.
Laporan hak sivil terbaru pertubuhan itu turut merekodkan 8,683 aduan berkaitan sikap berat sebelah terhadap Muslim sepanjang 2025 – jumlah tertinggi sejak CAIR mula menerbitkan laporan sedemikian pada 1996.
Sarah didakwa sebagai orang dewasa di Forsyth County, manakala siasatan yang melibatkan FBI dan beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang di North Carolina serta San Diego masih diteruskan. - Agensi berita
