TEL AVIV: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut akibat dihempap bungkusan bantuan yang digugurkan dari udara di Semenanjung Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan pada 9 Ogos, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata insiden itu berlaku berhampiran kawasan pelarian Nuseirat di tengah Gaza. Bagaimanapun, maklumat itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Selepas mengenakan sekatan selama berbulan-bulan, Israel membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak hujung Julai melalui kaedah digugurkan dari udara dalam jumlah terhad dan menerusi darat pada skala lebih kecil.
Pada 8 Ogos, pegawai Palestin berkata enam mangsa yang kebanyakannya kanak-kanak cedera di Bandar Gaza setelah kotak bantuan yang digugurkan dari udara jatuh ke atas sebuah balkoni dan menyebabkan struktur itu runtuh.
Penggunaan kaedah menggugurkan bantuan kemanusiaan dari udara di Semenanjung Gaza kini menjadi isu kontroversi dengan pengkritik menyifatkannya sebagai tidak berkesan dan berbahaya.
Menurut kumpulan bantuan, lebih banyak bekalan boleh dihantar secara selamat menggunakan trak jika Israel membenarkannya.
Namun, penghantaran menggunakan trak juga kurang diyakini keberkesanannya setelah banyak bekalan dirompak - sama ada oleh orang awam mahupun kumpulan bersenjata - sebelum sampai kepada mereka yang paling memerlukan.
Menurut tentera Israel, pesawat dari Jerman, Belanda, Greece, Italy, Emiriah Arab Bersatu dan Jordan menggugurkan 106 kotak bantuan di Gaza pada 9 Ogos. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg