SPH Logo mobile
Langgan|

Ribuan jemaah iktikaf di Masjidil Haram, Masjid Nabawi pada 10 malam terakhir Ramadan

Ribuan jemaah iktikaf di Masjidil Haram, Masjid Nabawi pada 10 malam terakhir Ramadan

Mar 10, 2026 | 10:19 AM

Ribuan jemaah iktikaf di Masjidil Haram, Masjid Nabawi pada 10 malam terakhir Ramadan

iktikaf, ramadan
Jemaah beriktikaf menghabiskan masa mereka di Masjid Nabawi di Madinah dengan membaca Al-Quran, berzikir dan menunaikan solat ketika 10 malam terakhir Ramadan. - Foto SPA

RIYADH: Ribuan jemaah dari pelbagai negara mula menunaikan ibadah iktikaf di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah apabila bulan suci Ramadan memasuki 10 malam terakhir, tempoh yang dianggap paling istimewa dalam kalendar Islam.

Ibadah iktikaf merujuk kepada amalan berdiam diri di dalam masjid semata-mata untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah.

Sepanjang tempoh ini, jemaah menghabiskan masa mereka dengan membaca Al-Quran, berdoa, berzikir serta memohon keampunan dan rahmat daripada Allah.

Pihak berkuasa perbandaran Makkah dan Madinah telah menggerakkan lebih 18,000 kakitangan serta hampir 6,000 kenderaan operasi dan peralatan di bawah pelan operasi intensif sempena bermulanya 10 hari terakhir Ramadan.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan menerusi pelan ini Kementerian Perbandaran dan Perumahan telah mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah dan ziarah, sekali gus membolehkan mereka beribadah dalam persekitaran yang selamat dan teratur.

Pihak Berkuasa Perbandaran Suci Makkah telah menugaskan lebih 13,000 kakitangan yang bertugas sepanjang masa bagi menyokong aktiviti pembersihan dan operasi di kawasan pusat serta tapak sekitar Masjidil Haram.

Ia disokong oleh sistem kenderaan dan peralatan khusus bersepadu untuk mengekalkan kebersihan di lokasi padat serta memudahkan pergerakan jemaah umrah dan ziarah.

Pihak Berkuasa Umum bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi memaklumkan bahawa jemaah yang ingin beriktikaf perlu terlebih dahulu membuat pendaftaran dan memperoleh permit sebelum dibenarkan menyertai ibadah tersebut.

Menurut pihak berkuasa itu, pelaksanaan iktikaf bermula pada 20 Ramadan bersamaan 9 Mac dan berterusan sehingga penghujung Ramadan pada 30 Ramadan, selaras dengan pelan pengurusan yang telah diluluskan.

“Semua jemaah yang ingin beriktikaf perlu mendaftar terlebih dahulu bagi memastikan pengurusan jemaah dapat dilakukan dengan lebih teratur serta menjamin keselesaan mereka sepanjang tempoh ibadah ini,” menurut kenyataan pihak berkuasa berkenaan.

Pendaftaran untuk menyertai iktikaf di kedua-dua masjid suci itu telah dibuka lebih awal sejak 3 Ramadan, bersamaan 20 Februari, dan melibatkan jemaah lelaki dan wanita termasuk para jemaah umrah.

Bagi memastikan ibadah berjalan lancar, pihak berkuasa menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan bagi jemaah yang beriktikaf.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk khidmat bimbingan, pengurusan kawasan, rawatan kesihatan, perkhidmatan terjemahan, layanan hospitaliti serta bekalan keperluan asas.

Pasukan petugas khas turut ditempatkan di kawasan masjid bagi mengawal aliran keluar masuk jemaah serta memastikan segala kemudahan yang disediakan dapat digunakan dengan baik.

Menurut pihak berkuasa, langkah tersebut bertujuan memastikan jemaah dapat menumpukan sepenuhnya kepada ibadah tanpa gangguan.

“Kami berusaha menyediakan persekitaran yang selamat, tersusun dan menenangkan supaya jemaah dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadah serta memperkayakan pengalaman rohani mereka sepanjang Ramadan,” menurut kenyataan itu lagi.

Di Masjid Nabawi pula, satu program khas semakan hafalan dan pembetulan bacaan Al-Quran turut dilancarkan khusus untuk jemaah yang beriktikaf.

Program tersebut dianjurkan oleh Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sebagai sebahagian daripada inisiatif pendidikan dan kesedaran sepanjang Ramadan bagi menggalakkan penghayatan Al-Quran.

Melalui program itu, peserta iktikaf berpeluang menyemak hafalan mereka serta memperbaiki bacaan Al-Quran mengikut kaedah tajwid yang betul di bawah bimbingan tenaga pengajar Al-Quran yang bertauliah.

“Program ini membolehkan para peserta iktikaf memperkukuhkan hafalan mereka dan memperbaiki bacaan Al-Quran mengikut kaedah tajwid yang tepat,” menurut kenyataan presidensi tersebut.

Inisiatif ini juga bertujuan memperkayakan suasana rohani dan ilmiah di Masjid Nabawi sepanjang musim iktikaf.

Selain itu, pihak berkuasa turut menyediakan sistem perkhidmatan menyeluruh bagi jemaah yang beriktikaf di Masjid Nabawi sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.

Seramai 3,200 anggota jemaah dijangka menyertai ibadah iktikaf di Masjid Nabawi, terdiri daripada 2,400 lelaki dan 800 wanita.

Kawasan khas telah disediakan bagi memastikan pergerakan jemaah lebih lancar.

Ruang iktikaf bagi jemaah lelaki ditempatkan di bumbung bahagian timur Masjid Nabawi, manakala kawasan untuk jemaah wanita terletak di bahagian peluasan timur masjid tersebut.

Susunan ini dibuat bagi memastikan akses yang lebih mudah serta mengelakkan kesesakan dalam kawasan masjid.

Sementara itu, Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Saleh Al-Fawzan, turut menggesa umat Islam agar memanfaatkan sepenuhnya 10 malam terakhir Ramadan dengan memperbanyakkan ibadah.

Beliau berkata tempoh tersebut mempunyai kelebihan yang besar kerana ia merupakan masa di mana umat Islam digalakkan meningkatkan amal ibadah seperti solat, membaca Al-Quran dan bersedekah.

“Hadis Nabi Muhammad saw menggalakkan umat Islam untuk memperbanyakkan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan, termasuk solat, iktikaf, membaca Al-Quran dan melakukan pelbagai amal kebajikan,” katanya.

Menurut beliau, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan doa dan memohon keampunan kerana malam-malam tersebut berpotensi mengandungi lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Beliau menambah bahawa tempoh itu merupakan peluang penting bagi umat Islam memperbaharui hubungan mereka dengan Allah serta memperbaiki amalan rohani.

“Tempoh 10 terakhir Ramadan adalah masa terbaik untuk memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah,” katanya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg