Tempahan hotel di Makkah bagi 10 malam terakhir Ramadan merosot susulan gangguan penerbangan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tempahan hotel di Makkah bagi 10 malam terakhir Ramadan merosot susulan gangguan penerbangan

Mar 9, 2026 | 6:52 PM

Tempahan hotel di Makkah bagi 10 malam terakhir Ramadan merosot susulan gangguan penerbangan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Makkah, hotel, reservation, tempahan, Ramadan
Gambar yang dirakam pada 8 Ogos 2019 ini menunjukkan pemandangan siang hari dari sebuah bilik hotel mewah yang menghadap Kaabah, tempat suci paling utama dalam Islam. - Foto AFP

MAKKAH: Permintaan hotel di Makkah semasa 10 malam terakhir Ramadan, yang lazimnya menjadi tempoh paling sibuk setiap tahun, dilaporkan menurun pada musim ini.

Ini selepas ramai jemaah antarabangsa membatalkan tempahan susulan ketegangan serantau yang menjejaskan sektor penerbangan.

Gangguan penerbangan, termasuk pembatalan dan perubahan laluan penerbangan di beberapa negara, menyebabkan sebahagian jemaah memilih untuk menangguhkan perjalanan mereka ke Tanah Suci.

Keadaan ini secara tidak langsung membuka peluang kepada rakyat dan penduduk Arab Saudi serta jemaah dari negara yang tidak terjejas untuk mendapatkan bilik hotel berhampiran Masjidil Haram pada harga lebih rendah berbanding kebiasaan.

Hotel yang lazimnya habis ditempah beberapa bulan lebih awal kini menerima tempahan saat akhir.

Seorang penduduk Makkah, Encik Kamel Ibrahim, berkata perubahan itu memberi manfaat kepada jemaah tempatan yang ingin beribadah di kawasan berhampiran Masjidil Haram.

“Bagi mereka yang ingin mendapatkan bilik hotel di kawasan pusat Makkah atau Madinah, adalah lebih baik menghubungi hotel secara terus dan tidak hanya bergantung kepada aplikasi tempahan,” katanya.

Menurut beliau, sesetengah hotel menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus berbanding harga biasa sepanjang Ramadan.

“Ini berlaku kerana ribuan tempahan daripada jemaah luar negara telah dibatalkan,” tambahnya.

Semakan pada platform tempahan perjalanan Wego menunjukkan harga purata satu malam di hotel berhampiran Masjidil Haram masih boleh mencecah sekitar AS$400 ($638), bergantung kepada jarak dari masjid serta jenis bilik.

Namun, tempahan secara terus dengan hotel kadangkala menawarkan harga lebih rendah.

Penyelia pejabat hadapan Tilal Jabal Al-Kaabah Hotel, Cik Sara Siyamek, berkata kadar penghunian hotel berhampiran Masjidil Haram pada tahun ini lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Hotel-hotel di Makkah, khususnya yang berada di sekitar Masjidil Haram, terjejas akibat situasi semasa di rantau Teluk yang memberi kesan langsung kepada tempahan sepanjang 10 hari terakhir Ramadan,” katanya.

Menurut beliau, petunjuk dalam sektor penginapan menunjukkan kadar penghunian hotel menurun kira-kira 30 peratus berbanding tahun-tahun lalu, walaupun tempoh tersebut biasanya menyaksikan semua bilik hotel penuh ditempah.

Seorang mutawwif di Makkah, Cik Wejdan Bugis, yang membimbing jemaah dari Asia Timur, berkata gangguan penerbangan menjadi punca utama penurunan jumlah jemaah.

“Kebanyakan jemaah datang dari luar Makkah, jadi isu utama sekarang ialah perjalanan. Jika penerbangan berjalan seperti biasa, mereka akan datang,” katanya.

Namun menurut beliau, ramai jemaah dari negara Teluk tidak dapat tiba kerana gangguan operasi penerbangan di beberapa lapangan terbang serantau.

“Lapangan terbang di beberapa tempat menjadi sangat lengang kerana banyak penerbangan dihentikan, dan jumlah jemaah yang datang ke Makkah jauh lebih rendah,” katanya.

Walaupun begitu, aliran jemaah umrah ke Makkah masih berterusan dari negara lain yang tidak terjejas.

Pakar ekonomi dan penganalisis kewangan, Encik Talat Hafiz, berkata permintaan untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan masih kekal tinggi walaupun berdepan cabaran geopolitik.

“Bagi umat Islam di seluruh dunia, menunaikan umrah terutama pada tempoh ini tetap menjadi perjalanan rohani yang amat penting,” katanya.

Menurut beliau, pihak berkuasa penerbangan dan syarikat penerbangan sedang menyesuaikan laluan penerbangan bagi memastikan keselamatan, dan koridor udara yang selamat masih tersedia.

“Akibatnya, jemaah masih boleh tiba di Arab Saudi dan sektor perhotelan di Makkah masih mencatat permintaan yang kukuh,” katanya.

Dalam masa sama, pihak berkuasa perbandaran Makkah dan Madinah turut mempertingkatkan kesiapsiagaan operasi sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.

Lebih 18,000 kakitangan dan hampir 6,000 kenderaan operasi digerakkan bagi memastikan kebersihan, keselamatan serta kelancaran pergerakan jemaah di kedua-dua kota suci.

Di Makkah sahaja, lebih 13,000 petugas dikerahkan untuk menyokong operasi pembersihan dan pengurusan kawasan sekitar Masjidil Haram, selain penyediaan lima kawasan tempat meletak kereta yang mampu menampung lebih 42,000 kenderaan bagi mengurangkan kesesakan.

Usaha ini, menurut pihak berkuasa, adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan Arab Saudi untuk memastikan jemaah umrah dan ziarah dapat beribadah dengan selamat, selesa dan teratur sepanjang tempoh paling sibuk dalam kalendar Islam itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg