SPH Logo mobile
Langgan|

Ribuan masih terkandas susulan gangguan penerbangan konflik AS-Iran

Ribuan masih terkandas susulan gangguan penerbangan konflik AS-Iran

Mar 26, 2026 | 2:56 PM

Ribuan masih terkandas susulan gangguan penerbangan konflik AS-Iran

penumpang kandas, gangguan penerbangan, konflik AS-Iran
Warga Perancis yang dipindahkan ke Arab Saudi tiba dengan bas di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh pada 10 Mac 2026. - Foto AFP

DUBAI: Puluhan ribu penumpang masih terkandas beberapa minggu selepas konflik Amerika-Israel-Iran tercetus, apabila pembatalan penerbangan secara besar-besaran di hab utama Teluk menjejaskan perjalanan dan memaksa ramai mencari jalan pulang sendiri.

Seorang jurugambar bersara, Encik Bernard Kuhn, bersama isterinya antara yang terjejas selepas penerbangan mereka ke London dibatalkan oleh Qatar Airways ketika berada di Sri Lanka. Selepas beberapa hari gagal menghubungi syarikat penerbangan itu, pasangan tersebut terpaksa terbang ke Bangkok dan menunggu selama 10 hari sebelum membeli tiket baharu.

Perjalanan alternatif itu menelan belanja £5,000 (S$8,600) dan memaksa mereka membatalkan rancangan percutian sepanjang tahun 2026. “Keadaan sangat kelam-kabut dan tiada komunikasi jelas. Kami terpaksa urus semuanya sendiri,” kata Encik Kuhn.

Kes pasangan itu mencerminkan krisis lebih besar apabila lebih 50,000 penerbangan dibatalkan, menjejaskan salah satu laluan transit paling sibuk di dunia.

Kira-kira satu pertiga penerbangan antara Eropah dan Asia melalui hab di rantau Teluk, menjadikan sebarang gangguan walaupun kecil memberi kesan besar kepada rangkaian penerbangan global. Penutupan ruang udara serta risiko keselamatan memaksa syarikat penerbangan membatalkan jadual secara mendadak, di samping menjejaskan penempatan pesawat dan kru, sekali gus melambatkan usaha pemulihan operasi.

Ramai penumpang mengadu gagal mendapatkan penjadualan semula penerbangan, malah ada yang hanya menerima bayaran balik tanpa alternatif perjalanan, lapor Bloomberg.

Dalam keadaan kapasiti penerbangan terhad, harga tiket turut melonjak mendadak. Penumpang dilaporkan terpaksa membeli tiket baharu pada harga dua hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding sebelumnya, terutama bagi laluan antara Asia Tenggara, Australia dan Eropah.

Seorang penumpang, Cik Diane Clement, berkata beliau terpaksa meminjam wang untuk membeli tiket baharu selepas penerbangan pulangnya dibatalkan oleh Etihad Airways. “Saya rasa diperlakukan tidak adil. Kami dibiarkan tanpa bantuan,” katanya.

Ramai penumpang meluahkan kekecewaan di media sosial, mendakwa syarikat penerbangan terus menjual tiket pada harga tinggi walaupun pelanggan sedia ada gagal mendapatkan tempat.

Seorang pengguna platform X, Encik Bruno Lopes, berkata beliau dan isterinya terkandas di Bali tanpa sebarang penjadualan semula walaupun masih terdapat tempat duduk tersedia. “Jangan paksa kami menerima bayaran balik, kemudian menjual semula tiket yang sama pada harga lebih mahal,” katanya.

Syarikat penerbangan utama seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad bagaimanapun hanya merujuk kepada laman web masing-masing bagi maklumat lanjut, tanpa memberikan penjelasan terperinci mengenai kelewatan tempahan semula.

Pakar undang-undang dari Pertubuhan Pengguna Eropah, Encik Steven Berger, berkata tiada perlindungan global yang seragam untuk penumpang dalam situasi seperti ini. “Tiada sistem perlindungan penumpang yang menyeluruh di peringkat global,” katanya.

Selain itu, kebanyakan polisi insurans perjalanan tidak meliputi gangguan akibat peperangan, menyebabkan ramai penumpang terpaksa menanggung kos sendiri termasuk penginapan dan tiket baharu.

Gangguan ini dijangka memberi kesan kepada musim pelancongan musim panas, khususnya bagi penerbangan jarak jauh. Tempahan penerbangan dari Eropah ke Amerika Syarikat dilaporkan menurun sebanyak 15 peratus berbanding pada 2025, manakala laluan Asia ke Eropah turun 4.4 peratus.

Walaupun beberapa syarikat penerbangan menambah laluan terus bagi mengelak Asia Barat, kapasiti tambahan masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan. “Permintaan masih tinggi, sebab itu harga tiket meningkat,” kata pengarah urusan Alton Aviation, Encik Bryan Terry.

Ejen pelancongan dari United Kingdom, Cik Kate Moore, berkata lebih 400 penumpang menghubunginya untuk mendapatkan bantuan selepas menghadapi masalah serupa. Ada yang mengalami pembatalan sehingga lima kali dan tidak mampu membeli tiket baharu.

“Ramai sudah hilang kepercayaan terhadap syarikat penerbangan. Mereka rasa dibiarkan tanpa bantuan,” katanya. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg