Kumpulan pertama 22 rakyat Indonesia di Iran selamat pulang
Kumpulan pertama 22 rakyat Indonesia di Iran selamat pulang
JAKARTA: Hampir dua dozen rakyat Indonesia yang dibawa pulang daripada Iran selamat tiba di rumah masing-masing pada 10 Mac, mengimbau kembali ledakan bom yang menghujani negara itu dalam perang dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Kumpulan seramai 22 orang itu merupakan yang pertama dibawa pulang ke Indonesia oleh pemerintah Indonesia, setelah dipindahkan melalui darat daripada Iran ke Azerbaijan sebelum terbang ke Jakarta.
Salah seorang daripada mereka, Encik Zulfanlindan, yang terperangkap di Iran selama 10 hari, berlindung di kedutaan Indonesia di Teheran, berkata keadaan di ibu negara sangat teruk.
“Sebanyak 10 bom terbang di atas kedutaan, dan ia meletup hanya satu atau dua kilometer jauhnya. Letupan begitu kuat sehingga tingkap di kedutaan bergegar,” cerita lelaki berusia 69 tahun itu.
Beribu-ribu rakyat Iran turun ke jalanan setiap malam untuk mengutuk dan meratapi pembunuhan pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan Amerika-Israel, katanya kepada pemberita di lapangan terbang utama Jakarta.
Encik Zulfanlindan berkata kumpulan itu menunggu selama lima jam untuk pelepasan imigresen di Teheran sebelum melakukan perjalanan kira-kira sembilan jam melalui jalan darat ke sempadan Azerbaijan.
Di ibu negara Azerbaijan, Baku, “hanya mengambil masa sejam sebelum kami terus menuju ke bandar dan mendaftar masuk ke hotel,” katanya.
Serangan Amerika dan Israel ke atas Iran, dan serangan balas Iran telah menyebabkan penutupan ruang udara yang menyebabkan ramai warga asing terkandas.
Mereka termasuk 329 rakyat Indonesia di Iran, kebanyakannya pelajar di bandar Qom tengah.
Menteri Luar, Encik Sugiono, yang mengalu-alukan kepulangan mereka di lapangan terbang, berkata 10 lagi rakyat Indonesia dijadualkan tiba pada 11 Mac, dan 36 lagi telah mendaftar untuk dihantar pulang kemudiannya.
Encik Muhammad Jawad, seorang pelajar di Iran, juga berkata pembunuhan pemimpin tertinggi Iran itu telah disambut dengan penuh kesedihan dan kemarahan di Teheran.
Jakarta berkata minggu lalu bahawa ia tidak mempertimbangkan pemindahan daripada negara-negara lain di Timur Tengah yang menempatkan sekitar setengah juta rakyat Indonesia.
Tiada laporan mengenai rakyat Indonesia yang terkorban sejak perang meletus pada akhir Februari, tetapi kru warga Indonesia dilaporkan hilang selepas sebuah kapal tunda berbendera Amiriah Arab Bersatu karam di Selat Hormuz pada 6 Mac.
Salah seorang daripada kru yang terselamat sedang menerima rawatan akibat melecur di sebuah hospital di bandar Khasab, Oman, menurut Kementerian Luar. –AFP.

