Topik diikuti
Pergi ke BHkuRibuan pelaut terus terperangkap di Selat Hormuz akibat perang Iran
Ribuan pelaut terus terperangkap di Selat Hormuz akibat perang Iran
Ribuan pelaut terus terperangkap di Selat Hormuz akibat perang Iran
WASHINGTON: Ketika perhatian dunia tertumpu kepada pertempuran antara Iran, Amerika Syarikat dengan Israel, ribuan pelaut awam yang mengendalikan kapal dagang terus terperangkap di Teluk Parsi, hidup dalam ketakutan menjadi sasaran serangan ketika konflik memasuki bulan keenam.
Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) menganggarkan kira-kira 6,000 pelaut masih terkandas di rantau itu selepas Iran menutup Selat Hormuz susulan perang yang tercetus pada 28 Februari lalu.
Mereka terdiri daripada warga Montenegro, Indonesia, Filipina dan beberapa negara lain.
Mereka merupakan sebahagian daripada hampir 20,000 pelaut yang berada di atas kira-kira 1,500 kapal dagang apabila laluan perkapalan paling penting di dunia itu ditutup sejurus selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran.
Walaupun sebahagian kapal berjaya meninggalkan Teluk Parsi apabila keadaan keselamatan mengizinkan, ribuan lagi masih tidak dapat berbuat demikian kerana ancaman serangan dan sekatan berterusan di Selat Hormuz.
Bagi kebanyakan pelaut, rutin harian kini bukan lagi sekadar mengendalikan kapal dan memantau kargo, sebaliknya hidup dalam kebimbangan sekiranya kapal mereka menjadi sasaran peluru berpandu atau dron.
Antara yang paling terkesan ialah kru kapal kontena MSC Francesca, yang dirampas tentera laut Iran ketika melalui Selat Hormuz pada 22 April lalu.
Kapal itu kini berlabuh kira-kira enam kilometer dari pantai Iran dengan sekitar dua dozen anak kapal masih berada di bawah kawalan pengawal Iran.
Menurut individu yang mengetahui keadaan di atas kapal itu, kru hanya dibenarkan menggunakan Internet selama kira-kira 30 minit setiap beberapa hari bagi menghubungi keluarga.
Selebihnya, mereka terputus hubungan dengan dunia luar dan tidak mengetahui bila akan dibebaskan.
Menurut laporan keadaan psikologi kru semakin terjejas selepas lebih tiga bulan hidup dalam keadaan tidak menentu.
MSC Francesca dimiliki syarikat perkapalan terbesar dunia, MSC Mediterranean Shipping Company, yang berpangkalan di Geneva, Switzerland.
Syarikat itu mengendalikan lebih 1,000 kapal kontena di lebih 300 laluan perdagangan antarabangsa.
Namun sehingga kini, syarikat berkenaan belum mengulas secara terbuka mengenai penahanan kapal itu.
Menurut IMO, sejak perang bermula sekurang-kurangnya 17 pelaut terbunuh dalam 63 serangan di sekitar Selat Hormuz.
Kebanyakan kematian dikaitkan dengan serangan Iran, manakala tiga lagi pelaut maut selepas sebuah kapal terkena serangan Tentera Laut Amerika pada Jun lalu.
Ancaman terhadap pelaut turut diperburuk oleh serangan kumpulan Houthi di Laut Merah, manakala dua kapal terbakar minggu lalu selepas letupan di sebuah pelabuhan di Mesir.
Keadaan itu menyebabkan pelayaran melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara.
Sebelum perang, kira-kira 130 kapal melalui laluan itu setiap hari.
Kini, jumlahnya hanya sedikit melebihi sedozen kapal sehari apabila kebanyakan syarikat perkapalan memilih mengelakkan laluan berisiko tinggi itu.
Selat Hormuz sebelum ini dianggap antara laluan perdagangan paling sibuk dan penting di dunia kerana hampir satu perlima bekalan minyak global dihantar melalui kawasan berkenaan setiap bulan.
Bagaimanapun, konflik yang berlarutan mengubah keadaan itu apabila Iran memperketat kawalan terhadap laluan tersebut dan beberapa kali menyerang kapal dagang yang cuba melaluinya.
Setiausaha Agung IMO, Encik Arsenio Dominguez, berkata nyawa pelaut tidak sepatutnya dikorbankan demi memastikan perdagangan antarabangsa terus berjalan.
“Perdagangan memang penting, tetapi kita tidak sepatutnya mempertaruhkan nyawa orang yang tidak bersalah,” katanya.
Kapal MSC Francesca berdaftar di Panama, yang kini mengetuai usaha diplomatik untuk membebaskan kapal serta anak kapalnya mengikut konvensyen maritim antarabangsa.
Duta Panama ke IMO, Cik Ginette Testa, berkata rundingan menunjukkan sedikit perkembangan positif, namun enggan mengulas lanjut kerana dikhuatiri menjejaskan proses rundingan.
Setakat ini, dua kru warga Croatia telah dibebaskan daripada kapal itu.
Menurut Kesatuan Pelaut Croatia, kedua-duanya menerima layanan yang baik dan mempunyai bekalan makanan mencukupi sepanjang ditahan.
Bagaimanapun, akses kepada telefon bimbit yang pada awalnya dibenarkan kemudian dihadkan.
Pemerintah Switzerland turut mengesahkan saluran diplomatik sedang digunakan bagi mendapatkan pembebasan kapal itu.
Pada hari sama MSC Francesca dirampas, Iran turut menahan sebuah lagi kapal kontena, Epaminondas, yang kini berada berhampiran kapal berkenaan di perairan Iran.
Kapal itu merupakan sebahagian daripada armada MSC melalui perjanjian pajakan dan berdaftar di Liberia.
Beberapa kru warga Filipina telah dibebaskan dan menjalani pemeriksaan kesihatan serta penilaian psikologi sebaik pulang ke negara mereka.
Penyelaras Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) bagi dunia Arab dan Iran, Encik Mohamed Arrachedi, berkata ramai pelaut berasa mereka telah ditinggalkan tanpa perlindungan.
Menurutnya, tekanan berpanjangan menjejaskan kesihatan mental, tidur dan kewangan mereka.
Beliau berkata sebahagian pelaut hanya menikmati hidangan nasi dan kacang dal sekali sehari kerana bekalan makanan semakin terhad.
Malah, ada pelaut dilaporkan tidur dengan pakaian lengkap supaya dapat melarikan diri dengan segera sekiranya kapal mereka diserang.
Pakar maritim daripada Universiti Cardiff, Profesor Emeritus Helen Sampson, berkata walaupun kru boleh memohon dipindahkan pulang melalui pelabuhan berhampiran, proses itu jarang berlaku kerana memerlukan kerjasama pihak imigresen negara berkenaan.
Selain itu, ramai pelaut yang bekerja di bawah kontrak jangka pendek enggan menolak tugasan berbahaya kerana bimbang disenaraihitamkan oleh syarikat perkapalan.
Menurut IMO, dua kapal yang masih ditahan di perairan Iran ialah MSC Francesca dan Epaminondas, manakala rundingan pembebasan masih diteruskan tetapi menjadi semakin rumit akibat konflik geopolitik yang berterusan.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) ran mempertahankan tindakan merampas kedua-dua kapal berkenaan dengan mendakwa ia memasuki perairan negara itu tanpa permit yang diperlukan sebelum diarahkan menuju ke pantai Iran. – Agensi berita.