CEUTA (Sepanyol): Antara 3,000 dengan 5,000 pendatang masih terkandas di wilayah Sepanyol, Ceuta, selepas puluhan ribu orang menyeberang dari Maghribi minggu lalu dalam gelombang penghijrahan besar-besaran yang mengorbankan sekitar 100 nyawa.

Keadaan paling membimbangkan membabitkan kanak-kanak tanpa penjaga yang terpaksa tidur di jalan raya dan pantai selepas pusat perlindungan tidak lagi mampu menampung mereka.

Kumpulan bantuan memberi amaran bahawa kanak-kanak terbabit, termasuk yang berusia 10 tahun atau lebih muda, kini terdedah kepada keganasan, pemerdagangan manusia dan eksploitasi.

Ketua wilayah Ceuta, Encik Juan Jesús Vivas, berkata antara 3,000 dengan 5,000 pendatang dipercayai masih berada di wilayah kecil Sepanyol di Afrika Utara itu.

Beliau memberitahu Parlimen Eropah bahawa kira-kira 78,000 pendatang dari Maghribi tiba melalui laut dalam tempoh beberapa jam minggu lalu, sebelum sebahagian besar daripada mereka kembali ke negara itu.

Encik Vivas menyifatkan kematian sekitar 100 orang ketika cuba memasuki Ceuta sebagai satu “tragedi yang tidak dapat diperbaiki”, sambil melahirkan “kesedihan yang amat mendalam” terhadap kehilangan nyawa tersebut.

Menurutnya, kepulangan hampir 75,000 pendatang ke Maghribi telah mengurangkan tekanan terhadap Ceuta dengan ketara, tetapi keadaan masih belum kembali normal.

Wilayah itu masih berdepan kecemasan kemanusiaan dan gangguan ketenteraman awam.

Nasib kanak-kanak tanpa penjaga menjadi antara cabaran terbesar kerana mereka tidak boleh dihantar pulang begitu sahaja.

Ketua Federacion Sur Acoge, sebuah pertubuhan yang membantu pendatang di selatan Sepanyol, Encik Jose Miguel Morales, berkata terdapat laporan bahawa sebahagian kanak-kanak yang tinggal di jalanan telah dipukul dan diserang.

“Setiap hari yang berlalu tanpa penyelesaian dan tanpa tempat tinggal yang selamat bermakna kita membiarkan kanak-kanak ini, khususnya kanak-kanak perempuan, terdedah kepada pelbagai bentuk penderaan,” katanya.

“Kita bercakap mengenai kanak-kanak sebenar – ada yang berusia 10 tahun atau lebih muda. Ramai yang berusia bawah 14 tahun,” katanya lagi.

Kumpulan Save the Children turut menggesa pihak berkuasa segera mendaftarkan semua kanak-kanak terbabit, sambil memberi amaran bahawa kanak-kanak perempuan menghadapi risiko lebih tinggi menjadi mangsa keganasan, pemerdagangan manusia dan eksploitasi.

Wartawan AFP di Ceuta melihat kanak-kanak tanpa penjaga menghadapi akses terhad kepada makanan, air, tempat perlindungan dan kemudahan kebersihan.

Sebahagian pendatang tidur di pantai dengan menutup muka menggunakan beg plastik atau kemeja-T untuk melindungi diri daripada panas matahari.

Pendatang lain tidur di jalan raya di kawasan perumahan selepas pusat penerimaan pendatang mencapai kapasiti maksimum.

Kerajaan Sepanyol pimpinan Perdana Menteri, Encik Pedro Sánchez, telah memperuntukkan 25 juta euro ($37.3 juta) kepada Ceuta untuk membantu menyediakan keperluan kanak-kanak tanpa penjaga.

Bagaimanapun, usaha memindahkan mereka ke wilayah lain di tanah besar Sepanyol menghadapi tentangan daripada beberapa pemerintah wilayah yang dikuasai Parti Rakyat (PP) konservatif dan parti berhaluan kanan Vox.

Pegawai Vox di Andalusia dan Extremadura berkata mereka akan menentang pemindahan kanak-kanak pendatang dari Ceuta ke wilayah masing-masing.

Krisis itu turut mencetuskan pertikaian mengenai bagaimana puluhan ribu pendatang boleh memasuki Ceuta dalam tempoh begitu singkat.

Gelombang penghijrahan berlaku selepas Mahkamah Agung Sepanyol memutuskan bahawa pendatang yang ditahan di laut ketika cuba memasuki Ceuta atau Melilla tidak boleh dihantar pulang serta-merta ke Maghribi.

Ceuta dan Melilla terletak di pantai Afrika Utara tetapi berada di bawah pentadbiran Sepanyol.

Maghribi tidak mengiktiraf kedaulatan Sepanyol ke atas kedua-dua wilayah itu.

Encik Vivas mengkritik tindak balas kerajaan pusat Sepanyol yang disifatkannya sebagai lewat dan tidak mencukupi, selain mendakwa amaran awal pegawai tempatan mengenai peningkatan percubaan menyeberangi laut tidak diberi perhatian.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pengawal sempadan Maghribi tidak menghalang puluhan ribu orang daripada menuju ke Ceuta, sambil menyifatkan kejadian itu sebagai satu “serangan yang jelas”.

Maghribi pula mengaitkan krisis itu dengan keputusan Mahkamah Agung Sepanyol yang menurutnya mengurangkan kesan pencegahan terhadap penghijrahan tanpa izin.

Pesuruhjaya Migrasi EU, Encik Magnus Brunner, berkata rangkaian jenayah yang menyebarkan maklumat palsu dipercayai turut memainkan peranan mendorong penghijrahan besar-besaran itu.

Pendatang yang ditemui AFP pula berkata kemiskinan menjadi antara faktor utama mereka meninggalkan negara asal.

“Kami mahu sampai ke Eropah dan memenuhi impian kami serta keluarga kami,” kata Ahmad, seorang pendatang dari Yaman.

Kebimbangan mengenai gelombang baru kini meningkat selepas media Maghribi melaporkan seruan di media sosial untuk mengadakan satu lagi percubaan menyeberangi sempadan secara besar-besaran.

Pihak berkuasa Maghribi telah memberi amaran bahawa individu yang menggalakkan penghijrahan tidak sah boleh dikenakan tindakan undang-undang, ketika Ceuta masih bergelut menangani kesan gelombang penghijrahan minggu lalu. – Agensi berita.