CEUTA (Sepanyol): Sekurang-kurangnya 72 pendatang disahkan maut selepas puluhan ribu migran cuba memasuki wilayah autonomi Sepanyol di Ceuta dari Maghribi dalam gelombang penghijrahan terbesar pernah direkodkan ke wilayah itu, menurut pihak berkuasa Sepanyol.

Angka kematian itu meningkat selepas lima lagi mayat ditemui di pesisir pantai Ceuta pada 2 Ogos, manakala lebih 1,000 individu menerima rawatan sejak krisis bermula pada 30 Julai lalu.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Maghribi mengemukakan angka yang jauh lebih rendah dengan memaklumkan hanya 11 orang terkorban ketika cuba menyeberang ke Ceuta sejauh ini, termasuk 10 yang lemas dan seorang lagi yang terjatuh dari kawasan berbatu.

Perbezaan besar dalam angka korban itu mencetuskan persoalan mengenai jumlah sebenar mangsa, dengan agensi berita EFE melaporkan angka kematian dijangka terus meningkat apabila lebih banyak mayat ditemukan.

Wakil Pemerintah Sepanyol di Ceuta, Encik Miguel Angel Perez Triano, berkata angka rasmi yang direkodkan setakat ini ialah 72 kematian.

Katanya, Pasukan Pengawal Awam Sepanyol sedang menjalankan proses mengenal pasti semua mangsa melalui cap jari dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), yang dijangka selesai selewat-lewatnya minggu depan.

“Kami sedang berusaha mengenal pasti identiti semua mangsa supaya keluarga mereka dapat dimaklumkan,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, sebahagian besar mangsa mati akibat lemas ketika berenang merentasi laut, manakala yang lain maut akibat dipijak atau tersepit ketika cuba memanjat benteng pemecah ombak dan pagar sempadan.

Gelombang penghijrahan yang berlaku antara 29 hingga 31 Julai itu menyaksikan kira-kira 60,000 migran memasuki Ceuta, kebanyakannya dengan berenang dari pantai Maghribi.

Ceuta bersama Melilla merupakan dua wilayah autonomi Sepanyol di Afrika Utara dan satu-satunya sempadan darat Kesatuan Eropah (EU) dengan benua Afrika.

Untuk memasuki Ceuta, ramai migran berenang sejauh kira-kira lima kilometer dari bandar Fnideq di Maghribi, manakala sebahagian lagi memilih laluan lebih dekat dari Belyounech.

Pihak berkuasa Sepanyol memaklumkan lebih 48,000 daripada mereka yang memasuki Ceuta telah pulang secara sukarela ke Maghribi dalam tempoh 48 jam, menyebabkan keadaan di bandar itu kembali stabil menjelang 2 Ogos.

Anggota polis dan tentera terus ditempatkan di seluruh Ceuta, manakala rondaan laut dipertingkatkan bagi menghalang cubaan baharu.

Sepanyol turut memasang penghadang terapung sepanjang 500 meter di perairan Ceuta bagi memperkukuh kawalan sempadan.

Di kawasan sempadan, pekerja dilihat membersihkan timbunan pakaian, sampah dan barangan yang ditinggalkan migran ketika gelombang penghijrahan berlaku.

Kementerian Dalam Negeri Maghribi berkata kejadian itu didorong penyebaran maklumat palsu di media sosial, kegiatan sindiket pemerdagangan manusia serta salah tafsir terhadap keputusan Mahkamah Agung Sepanyol mengenai larangan pemulangan segera migran yang dipintas di laut, sehingga mencetuskan tanggapan bahawa mereka boleh memasuki Sepanyol dengan lebih mudah.

Menurut kementerian itu, pihaknya masih mengesahkan laporan mengenai jumlah kematian yang diumumkan oleh pihak Sepanyol.

Ketua Pemerintah Ceuta, Encik Juan Jesus Vivas, sebelum ini mendedahkan rumah mayat bandar itu menerima sehingga 88 mayat, termasuk mangsa yang maut dalam beberapa cubaan kecil menyeberang ke Ceuta sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata pihak berkuasa Maghribi juga sedang menemui beberapa mayat di laut, namun belum ada pengesahan rasmi mengenai jumlah keseluruhannya.

Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares, berkata hampir semua migran yang memasuki Ceuta kini sudah kembali ke Maghribi.

Sementara itu, seorang warga Perancis yang mempunyai keluarga di Maghribi, Encik Karima Abenaz, melahirkan rasa sedih melihat ramai wanita dan kanak-kanak sanggup mempertaruhkan nyawa untuk menyeberangi laut.

“Amat menyedihkan melihat bayi berusia dua bulan dibawa merentas laut sehingga mengorbankan nyawa. Tiada siapa patut mati semata-mata untuk mencari kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Krisis itu turut mencetuskan kebimbangan di peringkat Eropah apabila 22 negara anggota EU menuntut tindakan bersama bagi mengukuhkan kawalan sempadan dan mengelakkan kejadian sama berulang.

Kesatuan Eropah dijadual mengadakan sidang video khas pada 4 Ogos bagi membincangkan langkah penyelarasan menghadapi krisis berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Italy menggantung selama sebulan pelaksanaan Perjanjian Schengen dengan Sepanyol, iaitu perjanjian yang membolehkan perjalanan rentas sempadan tanpa pemeriksaan pasport antara kebanyakan negara Eropah, sekali gus membenarkan pemeriksaan sempadan dilaksanakan semula.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, bagaimanapun mengkritik tindakan beberapa negara Eropah yang disifatkannya sebagai mementingkan diri dalam menangani krisis migran.

Sepanyol turut menolak dakwaan bahawa dasar imigresennya yang lebih terbuka menjadi punca lonjakan kemasukan migran ke Ceuta.

Pemerintah Sepanyol menjelaskan migran yang memasuki Ceuta secara tidak sah tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke tanah besar Sepanyol atau negara lain dalam Zon Schengen.

Beberapa penganalisis pula berpendapat Maghribi mungkin melonggarkan kawalan sempadan bagi memberi tekanan diplomatik terhadap Sepanyol, sebagaimana pernah berlaku pada 2021 apabila kira-kira 10,000 migran memasuki Ceuta selepas kawalan sempadan dilonggarkan. - Agensi berita