BAITULMAKDIS: Kebimbangan perang Israel di Gaza boleh merebak ke seluruh Timur Tengah meningkat lagi selepas letupan berkembar melanda orang awam di Iran, meragut sekurang-kurangnya 103 nyawa, menyusuli satu serangan di Lebanon yang membunuh seorang timbalan ketua Hamas.
Lebih 200 orang cedera apabila letupan selang kira-kira 15 minit itu melanda majlis memperingati ulang tahun keempat pembunuhan ketua Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Qasem Soleimani, dalam satu serangan dron Amerika Syarikat, lapor media negara Iran.
Stesen televisyen pemerintah menyifatkan kejadian itu sebagai “serangan pengganasan”. Ia berlaku sedang ketegangan serantau memuncak sehari selepas serangan di Beirut, yang disyaki perbuatan Israel, membunuh orang nombor dua Hamas, Saleh al-Arouri. Tiada siapa mengaku bertanggungjawab.
Seorang pegawai kanan pentadbiran Joe Biden di Washington berkata letupan itu kelihatan seperti “serangan pengganasan” yang dilakukan militan ISIS.
Presiden Iran, Encik Ebrahim Raisi, mengutuk tindakan jenayah “keji dan tidak berperikemanusiaan” itu, sementara pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Khamenei, berikrar akan membalas dendam. Iran menyalahkan Israel dan Amerika bagi letupan tersebut.
Israel sedang memerangi kumpulan Hamas, yang mentadbir Jaluran Gaza, sejak kumpulan itu menyerang Israel pada 7 Oktober.
Berikutan serangan di Beirut itu, jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata tentera “sangat bersedia bagi sebarang senario”.
Israel dan Iran telah lama menjadi musuh ketat. Keganasan melibatkan kumpulan yang disokong Iran di Lebanon, Iraq, Syria dan Yaman telah meningkat semasa perang Gaza ini.
Berlaku berulang kali tembak-menembak merentasi sempadan Lebanon-Israel, serangan ke atas kapal di kawasan Laut Merah yang penting untuk perdagangan global, dan serangan terhadap pasukan gabungan pimpinan Amerika di Iraq dan Syria.
Amerika berkata ia masih sangat bimbang tentang risiko konflik di Gaza merebak ke bahagian lain selepas pembunuhan Encik al-Arouri di Beirut.
Jurucakap Jabatan Negara, Encik Matthew Miller, berkata beliau tidak dapat memberikan penilaian mengenai siapa melakukan pembunuhan itu, tetapi menyifatkan Encik al-Arouri sebagai “pengganas kejam dengan darah orang awam di tangannya.”
Israel telah berikrar akan memusnahkan Hamas, dan melancarkan pengeboman tanpa henti serta pencerobohan darat yang menjadikan Gaza kawasan runtuhan dan meragut sekurang-kurangnya 22,313 nyawa, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 1.9 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran tentang risiko kebuluran dan penyakit, dengan hanya sedikit bantuan yang masuk.
Selepas pembunuhan Encik al-Arouri pada 2 Januari, kumpulan bersenjata Lebanon yang disokong Iran, Hezbollah, berikrar membalas dendam terhadap Israel, yang dipersalahkannya melakukan serangan di kubu kuatnya di selatan Beirut itu.
Ketua Hezbollah berkata ia “tidak boleh berdiam diri” selepas pembunuhan timbalan ketua Hamas di Beirut dan memberi amaran bahawa angkatan bersenjatanya akan berjuang habis-habisan jika Israel memilih untuk meluaskan peperangan dari Gaza ke Lebanon.
Walaupun Israel tidak mendakwa melakukan pembunuhan itu, Hamas dan sumber keselamatan Lebanon menuduhnya membunuh Encik al-Arouri, 57 tahun, pengasas sayap tentera Hamas.
Hezbollah berikrar pembunuhan Encik Al-Arouri dan enam lagi anggota Hamas tidak akan terlepas daripada hukuman, menyifatkannya sebagai “serangan serius ke atas Lebanon... dan perkembangan berbahaya”.
Semasa perang Israel-Hamas, Israel berdagang hampir setiap hari merentasi sempadan dengan Hezbollah.
Di bandar raya utara Israel di Nahariya, berhampiran sempadan dengan Lebanon, ramai orang membawa senjata.
Penduduk berkata mereka bimbang pembunuhan Encik Al-Arouri boleh mencetuskan perang di wilayah mereka.
“Kami takut,” kata Encik Lee Zorviv, pemilik kedai pakaian. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg