TEXAS: Roket gergasi Starship milik SpaceX meletup di angkasa beberapa minit selepas berlepas dari Texas pada 6 Mac, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menangguhkan penerbangan di beberapa lapangan terbang utama di Florida.
Insiden ini menandakan kegagalan kedua berturut-turut bagi program roket Elon Musk tahun 2025 ini, sekali gus menimbulkan cabaran besar terhadap misinya untuk menghantar manusia ke Marikh.
Beberapa rakaman video di media sosial menunjukkan serpihan berapi melintasi langit senja di selatan Florida dan Bahamas selepas Starship gagal mengawal pergerakan dan mengalami gangguan pada enjinnya. Siaran langsung SpaceX turut menunjukkan roket itu mula berpusing secara tidak terkawal sebelum meletup di angkasa.
Kegagalan ini merupakan ujian kelapan Starship, hanya sebulan selepas ujian ketujuh turut berakhir dengan letupan. Insiden ini berlaku pada peringkat awal pelancaran, satu fasa yang sebelum ini mudah diatasi oleh SpaceX.
Namun, kegagalan berulang ini menjadi tamparan hebat kepada Elon Musk yang berusaha mempercepatkan pembangunan roket setinggi 123 meter itu dalam usaha menjayakan misinya ke Marikh menjelang dekad akan datang.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan bahawa ia telah menghentikan sementara penerbangan di beberapa lapangan terbang termasuk Miami, Fort Lauderdale, Palm Beach dan Orlando kerana serpihan angkasa yang jatuh. Pihaknya juga telah membuka siasatan rasmi mengenai kejadian ini.
Starship berlepas dari kemudahan pelancaran SpaceX di Boca Chica, Texas sekitar jam 6.30 petang waktu tempatan. Seperti yang dirancang, booster peringkat pertama roket berjaya kembali ke Bumi dan ditangkap oleh kren SpaceX di udara.
Namun, beberapa minit kemudian, siaran langsung menunjukkan bahagian peringkat kedua roket mula berpusing di angkasa sebelum mengalami kegagalan sistem. Paparan visual enjin menunjukkan beberapa enjin tidak berfungsi, menyebabkan kawalan roket hilang sepenuhnya.
SpaceX kemudiannya mengumumkan bahawa mereka telah kehilangan komunikasi dengan roket itu. “Malangnya, ini juga berlaku dalam ujian sebelumnya, jadi kami sudah ada pengalaman menghadapinya,” kata jurucakap SpaceX, Dan Huot, dalam siaran langsung.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan lewat malam 6 Mac, SpaceX menyatakan bahawa Starship mengalami “kejadian tenaga tinggi” pada bahagian belakangnya, menyebabkan beberapa enjin rosak dan akhirnya mengakibatkan kehilangan kawalan serta komunikasi.
“Hubungan terakhir dengan Starship berlaku sekitar 9 minit 30 saat selepas pelancaran,” kata SpaceX. Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan bahawa tiada bahan toksik dalam serpihan yang jatuh ke Bumi.
Kegagalan Starship pada Januari lalu juga berlaku lapan minit selepas pelancaran, menyebabkan serpihan jatuh ke Kepulauan Caribbean dan merosakkan sebuah kenderaan di Pulau Turks dan Caicos.
Sebagai agensi yang mengawal selia pelancaran roket swasta, FAA menyatakan bahawa SpaceX perlu mengenal pasti punca kegagalan ini dan mendapatkan kelulusan sebelum roket Starship boleh dilancarkan semula.
Pada Februari lalu, FAA telah memberikan lesen pelancaran kepada SpaceX untuk ujian kali ini, walaupun siasatan terhadap kegagalan sebelumnya masih belum selesai. Keputusan itu dibuat selepas FAA menilai laporan awal SpaceX mengenai kegagalan terdahulu.
Misi kali ini sepatutnya menyaksikan Starship mengelilingi hampir keseluruhan orbit Bumi sebelum memasuki semula atmosfera dan mendarat di Lautan Hindi, satu simulasi yang penting dalam usaha SpaceX untuk mencapai pendaratan di darat pada masa depan.
“Kami sedang mempercepatkan pembangunan roket ini, dan setiap ujian memberikan data berharga untuk membawa manusia ke Marikh,” kata seorang jurutera kanan SpaceX. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg