Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rosmah mohon pasport dikembali agar dapat pergi ke S’pura

Jun 14, 2023 | 5:44 PM
 ZIARAH ANAK: Datin Seri Rosmah memohon pelepasan pasportnya kali ketiga untuk ziarah anak dan cucunya di Singapura.
ZIARAH ANAK: Datin Seri Rosmah memohon pelepasan pasportnya kali ketiga untuk ziarah anak dan cucunya di Singapura. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor memohon pelepasan sementara pasportnya buat kali ketiga untuk melawat anak perempuan dan cucunya di Singapura.

Beliau memfailkan notis usul melalui Tetuan Akberdin & Co pada 2 Jun.

Pasport Datin Rosmah kini ditahan mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat jaminannya dalam kes hibrid solar.

Menurut notis usul, Datin Rosmah memohon pelepasan segera pasportnya bagi membolehkannya melancong ke luar negara selama empat minggu antara 6 Jun dengan 7 Julai.

Dalam afidavit sokongannya, Datin Rosmah berkata beliau berhasrat ke Singapura selama empat minggu untuk lawatan peribadi – melawat anaknya, Cik Nooryana Najwa Mohd Najib, yang berkahwin dengan warga Kazakhstan, Encik Daniyar Kessikbayev.

Cik Nooryana dan keluarganya kini menetap di Singapura.

“Pemohon sedar akan akibatnya sekiranya dia ingkar perintah mahkamah untuk menghadiri prosiding dan perbicaraan mahkamah.

“Sehingga hari ini, pemohon tidak pernah gagal menghadiri sebarang prosiding mahkamah untuk sebutan atau perbicaraan tanpa sebarang alasan munasabah,” katanya.

Datin Rosmah juga menyatakan bahawa dua permohonannya sebelum ini tidak dibantah oleh pihak pendakwaan dan dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata permohonannya tidak menjejas mana-mana pihak dalam kes jenayahnya.

Datin Rosmah pertama kali dibenarkan akses sementara ke pasportnya pada 15 Oktober 2021, apabila beliau pergi ke Singapura untuk bersama anak perempuannya yang melahirkan anak.

Pada 21 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan pelepasan kedua pasport untuk ke Singapura dari 23 Mac hingga 5 Mei bagi melawat anak dan cucunya yang tidak sihat.

Permohonan Datin Rosmah untuk melepaskan pasportnya telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Rayuan pada 15 Jun.

Dalam kes hibrid solarnya, Datin Rosmah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ($285 juta).

Kesnya kini di peringkat rayuan di mahkamah rayuan dan akan didengar antara 11 Julai dengan 14 Julai. –The Star.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg