WASHINGTON: Pegawai pentadbiran Donald Trump tersilap mendedahkan rancangan perang dalam kumpulan pemesejan yang termasuk seorang wartawan sejurus sebelum Amerika Syarikat menyerang Houthi di Yaman, kata Rumah Putih pada 24 Mac.
Penggubal undang-undang Demokrat dengan pantas membidas kesilapan tersebut dengan menyatakan ia adalah pelanggaran keselamatan negara Amerika dan pelanggaran undang-undang yang mesti disiasat oleh Kongres.
Mendedahkan kejadian yang berlaku itu, ketua pengarang majalah Atlantic, Encik Jeffrey Goldberg, berkata dalam laporan pada 24 Mac bahawa beliau secara tidak dijangka dijemput pada 13 Mac ke kumpulan sembang ‘kumpulan kecil PC Houthi’menerusi aplikasi pemesejan ‘Signal’.
Dalam kumpulan itu, Penasihat Keselamatan Negara Encik Mike Waltz menugaskan timbalannya Encik Alex Wong supaya menubuhkan “pasukan harimau” untuk menyelaraskan tindakan Amerika terhadap Houthi.
Presiden Trump melancarkan serangan ketenteraan berskala besar terhadap Houthi di Yaman pada 15 Mac ekoran serangan kumpulan itu terhadap perkapalan di Laut Merah.
Beliau juga telah memberi amaran kepada Iran, penyokong utama Houthi, bahawa ia perlu segera menghentikan sokongan terhadap kumpulan itu.
Beberapa jam sebelum serangan itu bermula, Setiausaha Pertahanan Encik Pete Hegseth menyiarkan butiran operasi tentang rancangan itu dalam kumpulan pemesejan, “termasuk maklumat mengenai sasaran, senjata yang akan digunakan oleh Amerika dan urutan serangan”, kata Encik Goldberg.
Encik Goldberg tidak menyertakan butiran lanjut dalam laporannya itu tetapi menyifatkan penggunaan aplikasi sembang ‘Signal’ itu sebagai “secara semborono yang mengejutkan”.
Menurut beliau, nama-nama lain dalam kumpulan pemesejan itu termasuk Naib Presiden Encik JD Vance; Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio; Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA), Encik John Ratcliffe; Pengarah Risikan Kebangsaan, Encik Tulsi Gabbard; Setiausaha Perbendaharaan, Encik Scott Bessent; ketua kakitangan Rumah Putih Cik Susie Wiles dan pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara.
Encik Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih bahawa beliau tidak menyedari kejadian itu.
“Saya tidak tahu apa-apa mengenainya. Saya bukan peminat The Atlantic,” kata beliau.
Seorang pegawai Rumah Putih kemudian berkata bahawa siasatan sedang dijalankan dan Encik Trump telah diberi taklimat mengenainya.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Encik Brian Hughes, berkata kumpulan sembang itu nampaknya sahih.
Dalam satu kenyataan, Encik Hughes berkata: “Pada masa ini, urutan mesej yang dilaporkan juga nampaknya sahih dan kami sedang meneliti bagaimana nombor yang tidak disengajakan telah disertakan dalam kumpulan itu.” – Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg